Shahrir Samad dilepas, dibebaskan

Shahrir Ab Samad
Shahrir Ab Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi memaklumkan bahawa pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Semasa prosiding, Rasyidah Murni memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan berkenaan.

“Ia berdasarkan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Shahrir, membantah perkara itu kerana beliau sepatutnya diberi perintah lepas dan bebas (DNA).

Muhammad Jamil: Boleh saya tahu, kenapa pertuduhan tidak diteruskan terhadapnya, ada apa-apa alasan?

Rasyidah: Arahan yang kami terima ialah tidak meneruskan pendakwaan, setakat itu sahaja Yang Arif.

Muhammad Jamil: Adakah pendakwaan akan dilakukan pada tarikh akan datang atau dalam masa terdekat?

Artikel Berkaitan:

Rasyidah: Tidak.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili pemimpin UMNO ini memohon perintah pembebasan mutlak kerana pendakwaan terhadap Shahrir menyebabkan imejnya sekeluarga tercalar.

Beliau berkata, pasukan pendakwaan telah mengemukakan 22 saksi dengan 102 dokumen, yang mana sebahagiannya telah ditandakan sebagai eksibit.

“Pendakwaan hanya minta kes dihentikan sementara, ini akan menyebabkan anak guam saya tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya sama ada beliau akan diheret ke mahkamah semula atau tidak.

“Jadi, kami mohon agar pertuduhan seperti ini dinoktahkan,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Muhammad Jamil berkata, timbalan pendakwa raya mengesahkan pendakwaan tidak diteruskan terhadap tertuduh dalam tempoh terdekat.

“Dalam keadaan sedemikian, tertuduh wajar dilepas dan dibebaskan.

“Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 27 dan 28 Februari depan,” katanya.

Mahkamah memerintahkan wang ikat jamin dikembalikan kepada penjamin, pasport yang ditahan oleh mahkamah diserahkan semula kepada tertuduh manakala semua eksibit dikembalikan kepada pihak pendakwaan serta pembelaan.

Prosiding pada Khamis sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara bagi mendengar keterangan Najib sebagai saksi pendakwaan ke-23.

Pada 21 Januari 2020, Shahrir, 74, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.