'Saya yakin Sanusi mampu lakukan' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid, Muhammad Sanusi
Ahmad Zahid, Muhammad Sanusi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan negeri Kedah bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu rumah mangsa banjir di Baling.

Menurutnya, kerajaan negeri harus menterjemahkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memberi bantuan tanpa kerajaan Persekutuan.

"Keputusan pilihan raya yang lalu memperlihatkan mereka telah mendapat kejayaan 100 peratus untuk kerusi Parlimen," katanya pada sidang akhbar selepas Amanat Tahun Baru Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 34 unit rumah mangsa banjir di kawasan terlibat telah siap dibaik pulih oleh agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) manakala lapan unit rumah baharu telah diserahkan kepada pemilik pada Disember lepas.

"Saya yakin Menteri Besar Kedah, (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) mampu melakukannya sebagaimana beliau mampu bercakap dalam pentas-pentas politik tanah air," katanya.

Pada Julai lalu, sebanyak 13 buah perkampungan dan perumahan yang melibatkan 74 unit rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir kali ketiga di Mukim Kupang dan berhampiran Pekan Baling.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Kampung Tanjung Nering.

Pada perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, satu koordinasi antara Jawatankuasa Bencana Pusat dan kementerian serta agensi diadakan bagi mencari jalan penyelesaian menyeluruh untuk mengatasi masalah Monsun Timur Laut dan Barat Daya.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali musim banjir ada rumah rosak kita baiki, ada rumah hanyut kita bina baru, jalan rosak kita buat dan berlaku lagi.

"Kita mesti cari jalan penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang," katanya.