Baling dilanda banjir, 120 mangsa dipindahkan

Sebanyak 120 mangsa dipindahkan ke Dewan Kampung Padang Empang, Kupang, Baling setelah banjir melanda petang Selasa. - Foto Ihsan APM
Sebanyak 120 mangsa dipindahkan ke Dewan Kampung Padang Empang, Kupang, Baling setelah banjir melanda petang Selasa. - Foto Ihsan APM
A
A
A

BALING - Seramai 120 mangsa dari 27 buah keluarga di Kampung Padang Empang, Kupang, berdekatan Kampung Iboi di sini terpaksa dipindahkan akibat banjir kilat melanda kawasan itu pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, selain kawasan itu, Kampung Bendang Bechah dan Kampung Hangus dikesan turut dinaiki air.

Menurutnya, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Pihak polis dan agensi lain bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sudahpun berada di tempat kejadian bagi memantau perkembangan semasa.

"Setakat ini cuaca baik dan tiada insiden kehilangan ahli keluarga dilaporkan.

"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.

Shamsudin berkata, jambatan jenis Bailey yang didirikan di Kampung Iboi telah dinaiki air dan pemerhatian kasar mendapati terdapat kerosakan di bahagian struktur.

"Jambatan telah ditutup untuk semua kenderaan termasuk pejalan kaki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, jambatan Bailey dipasang bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat dibawa arus dalam kejadian kepala air di lokasi sama, 4 Julai lalu.

Difahamkan, hujan lebat petang Selasa telah menyebabkan beberapa kawasan lain telah dinaiki air termasuk Kawasan Taman Bayu Sejahtera, bagaimanapun air telah surut kira-kira jam 8 malam.

Kawasan jajaran Iboi hingga Kampung Hangus dikatakan air masih mengalir deras setakat jam 9 malam dan sekitarnya berlarutan, kawasan taman perumahan di Kupang turut dijangka terjejas.