JSJN tumpas 229 sindiket edar dadah tahun lalu

JSJN menumpaskan 229 sindiket dadah pada tahun lalu. - Foto Facebook JSJN
JSJN menumpaskan 229 sindiket dadah pada tahun lalu. - Foto Facebook JSJN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan 229 sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah pada tahun lalu.

JSJN dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, sepanjang 365 hari pada tahun lalu, pihaknya telah melakar kejayaan dengan tangkapan seramai 163,740 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah itu sebanyak 4,305 kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 membabitkan 6,612 tangkapan manakala 1,261 orang ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"JSJN juga menumpaskan sebanyak 229 sindiket yang melibatkan 709 orang tangkapan.

"Pada 9 September, JSJN telah berjaya menangkap salah seorang ketua sindiket terbesar di Sabah yang terlibat secara aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, minuman jus yang mengandungi kandungan dadah di pusat hiburan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM124 juta telah disita manakala sebanyak RM24.61 juta nilai harta yang telah dilucuthak bagi tahun 2022 berbanding hanya RM19.15 juta bagi tahun 2021.

Menurut kenyataan itu, selain itu 15 makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan lima tangkapan ke atas ahli kimia.

Kata kenyataan itu, JSJN juga berjaya merampas sebanyak 18.4 tan pelbagai jenis dadah dan 3,437 liter pelbagai jenis cecair dadah selain 106.4 tan daun ketum serta 52,886 liter air ketum yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM461 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, bagi mempergiat tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, pihaknya telah melancarkan Op Tapis Khas Siri 1 hingga Siri 7 di seluruh negara bermula Januari hingga Disember 2022 dengan menyasarkan kawasan sarang penagih, penempatan felda, kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jeti nelayan, pengkalan haram serta lokasi aktif yang menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 25,566 individu yang berusia di antara 13 hingga 71 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 4,046 tokan dan 1,444 orang yang dikehendaki (wanted person).

"Sebanyak 2,032.87 kg dan 7,485.68 liter pelbagai jenis dadah telah berjaya dirampas dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM19.2 juta. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 533,456 orang penagih dadah," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pada 6 Disember menerusi Op Tapis Khas Siri 7 berjaya membuat tangkapan ke atas 20 orang ahli kumpulan Bani Tenang termasuk ketua kumpulan ini yang mempromosikan penggunaan ganja secara terbuka.