687 penjawat awam terlibat dadah diberkas

Antara dadah yang dirampas JSJN pada tahun lalu. Foto: Bernama
Antara dadah yang dirampas JSJN pada tahun lalu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 687 orang penjawat awam ditahan atas pelbagai kesalahan dadah pada tahun lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, lima daripada tangkapan terbabit adalah pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa di Pahang.

Katanya, lima individu ini ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran penyalahgunaan dadah," ujarnya pada Rabu.

Selain itu, seramai 7,512 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 5,279 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Tambah kenyataan, sepanjang tahun 2022 juga, sejumlah 71,763 kertas siasatan dibuka dan 66,443 kertas siasatan daripadanya berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.59 peratus.

"Di samping itu juga, sebanyak 101 tan pelbagai jenis dadah, 352,260 liter cecair dadah serta 9,571 biji pil dadah yang telah selesai dan mendapat arahan mahkamah telah dilupuskan pada tahun 2022. Anggaran nilai pelupusan barang kes tersebut adalah RM103 juta," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, JSJN juga menerima 110 aduan awam dan sebanyak 65 berjaya diselesaikan dengan peratusan 60 peratus tahun lalu.

Tegas JSJN, jabatan terus berusaha mengekang aktiviti pengedaran dadah dengan menjalinkan hubungan kerjasama bersama agensi luar.

"Antara kejayaan yang ditempa adalah melalui kerjasama bersama ONCB / PNSB (Thailand) dalam Op Ogma II dengan menumpaskan penyeludupan dadah ganja dan methamphetamine dari Kedah ke Lembah Klang serta kejayaan menumpaskan pengedaran dadah methamphetamine di sekitar Kuala Lumpur oleh sindiket dadah Thailand dalam Op Lambkin," katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222.