Kena cekup tak sampai 24 jam selepas samun kedai serbaneka

Mohd Suhaily (tengah) pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Selasa.
Mohd Suhaily (tengah) pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam melakukan jenayah samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Desa Murni Sungai Dua, Butterworth pada 25 Disember lalu.

Dalam kejadian jam 5.52 pagi itu, suspek berusia 24 dan 25 tahun yang bersenjatakan parang berjaya melarikan wang tunai RM500 sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan laporan diterima polis melancarkan operasi dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada jam 6 petang pada hari yang sama.

"Kedua-dua suspek ditahan di kawasan Kepala Batas kerana disyaki terbabit dengan kes samun kedai serbaneka di beberapa lokasi sekitar Seberang Perai Utara.

"Mereka yang mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah juga disahkan positif dadah jenis Methamphetamine,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, pada Selasa.

Mohd Suhaily berkata, siasatan polis mendapati dua lelaki terbabit aktif melakukan jenayah samun sejak awal Disember tahun lalu.

Katanya, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak tiga kes samun dan satu kes curi motosikal di SPU.

Sementara itu dalam kes berasingan di daerah Timur Laut, Mohd Shuhaily berkata, polis menangkap seorang lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kerana dipercayai terlibat dengan kes ragut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek dipercayai meragut seorang wanita wanita di Jalan Haji Rafaie, Tanjung Bungah, di sini, Rabu lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM350 selain cedera di lutut kiri akibat terjatuh.

"Suspek ditahan di sekitar Georgetown dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine,"katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun itu aktif melakukan samun sejak Mac tahun lalu dan kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Januari ini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

ENDS.