Banjir: 10,490 kes musnah harta benda, ternakan di Kelantan

Muhamad Zaki (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Sakri (dua, kanan) di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat, pada Isnin. Foto SINAR HARIAN
Muhamad Zaki (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Sakri (dua, kanan) di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat, pada Isnin. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

TUMPAT - Banjir Monsun Timur Laut fasa kedua yang melanda Kelantan pada penghujung tahun lalu merekodkan keseluruhan 10,490 laporan kemusnahan harta benda dan ternakan antaranya melibatkan daerah Pasir Puteh yang paling tinggi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan diterima daripada mangsa-mangsa banjir di sembilan daerah di negeri ini bermula 9 sehingga 28 Disember tahun 2022.

“Berdasarkan pecahan daripada keseluruhan 10,490 laporan itu, sebanyak 4,214 melibatkan kerosakan dan kemusnahan rumah, kenderaan (619) dan harta benda lain-lain (5,114).

“Manakala 542 laporan membabitkan kehilangan atau ternakan yang mati akibat banjir seperti ikan sangkar, lembu, kambing dan ayam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2021 di Balai Polis Wakaf Bharu di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Balai Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Mohd Sakri Abd Ghani.

Muhamad Zaki berkata, Pasir Puteh mendahului dengan rekod kes kemusnahan berjumlah 2,879 diikuti Bachok (2,132) dan Pasir Mas (1,812).

Tumpat (1,426), Kota Bharu (1,411), Tanah Merah (345), Machang (241), Kuala Krai (238) dan Jeli (7) manakala Gua Musang tidak ada kes dilaporkan.

“Bencana kali ini agak serius hingga melibatkan lebih 39,000 mangsa dipindahkan termasuk di kawasan-kawasan yang tidak dijangka berlaku banjir seperti di Pasir Puteh dan Bachok.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun usaha menyelamat dan memindahkan mangsa dilakukan dengan baik hasil kerjasama antara PDRM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat, Angkatan Tentera Malaysia serta pegawai-pegawai daerah,” katanya.

Beliau turut menjangkakan lebih ramai mangsa banjir tampil membuat laporan bagi memudahkan urusan menuntut pampasan, bantuan atau ganti rugi.

Dalam perkembangan lain, berkaitan kes kematian tragis tiga beradik iaitu Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, dan dua adiknya, Sakinah, 29, serta Noor Fathiah, 27, yang maut akibat terkena renjatan elektrik selepas menyentuh tiang di rumah jiran yang digenangi banjir pada 19 Disember lalu, masih dalam siasatan.

“Polis masih menunggu laporan penyiasatan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melihat sekiranya insiden itu akibat daripada kecuaian atau sebab-sebab lain.

“Siasatan dilakukan secara teliti dan memerlukan lebih masa kerana membabitkan isu teknikal,” ujar Muhamad Zaki.