Kempunan kereta baharu, duit simpanan hampir RM100,000 lesap

Yaw Jin (kanan) menunjukkan laporan polis dan nombor TAC yang diberikan kepada suspek sehingga menyebabkan wang simpanan hampir RM100,000 dalam akaun bank lesap pada Rabu lalu.
Yaw Jin (kanan) menunjukkan laporan polis dan nombor TAC yang diberikan kepada suspek sehingga menyebabkan wang simpanan hampir RM100,000 dalam akaun bank lesap pada Rabu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang jurujual untuk membeli kereta baharu tidak kesampaian apabila wang simpanan hampir RM100,000 dalam akaun bank lesap dipercayai perbuatan sindiket penipuan.

Mangsa, Ng Yaw Jin, 58, berkata, wang simpanan sebanyak itu baru dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pembelian kenderaan.

Bagaimanapun katanya, pada 21 Disember lalu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Individu terbabit mendakwa saya terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan satu surat tangkapan telah dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepadanya.

"Selain itu, individu tersebut turut memaklumkan akaun bank saya akan dibekukan dan semua wang perlu dipindahkan ke dalam satu akaun bagi tujuan siasatan," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang.

Disebabkan terlalu takut dengan tuduhan itu, Yaw Jin memberitahu salah satu akaun perbankan miliknya telah diserah kepada individu berkenaan bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, wang simpanan daripada akaun bank lain turut dipindahkan ke dalam satu akaun bank miliknya seperti yang diarahkan suspek.

Artikel Berkaitan:

"Selepas saya menyerahkan semua maklumat akaun termasuk nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC), wang saya dipindahkan dalam tempoh 12 jam dalam beberapa transaksi.

"Pada Rabu lalu, saya mendapati kesemua wang simpanan saya hampir RM100,000 lesap dalam akaun," katanya yang sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada hari sama.

Dia mengakui tidak menyangka menjadi mangsa penipuan kerana modus operandi yang digunakan seakan seperti realiti.

"Saya pula tidak membuat semakan dengan pihak polis dan akibat daripada itu saya kerugian ratusan ringgit," ujarnya dengan nada kesal.

Sementara itu, Chun Kuang berharap kejadian yang menimpa lelaki itu dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain.

“Saya harap orang ramai dapat berhati-hati dalam melakukan urusan bank.

"Jika terdapat perkara yang meragukan segera dapatkan nasihat daripada pihak bank selain tidak mudah terpedaya atau percaya kepada apa juga urusan yang dilakukan melalui telefon,” katanya.