Pelajar Tingkatan Enam rugi RM22,300 ditipu sindiket pelaburan

Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. - Gambar hiasan
Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pelajar Tingkatan Enam mengalami kerugian sebanyak RM22,300 akibat terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan satu skim pelaburan tidak wujud yang disertainya pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dikatakan melayari laman sosial Facebook pada Disember lalu.

"Setelah dimasukkan ke dalam aplikasi Telegram, suspek memaklumkan bahawa mangsa akan menerima pulangan yang lumayan dalam tempoh tiga jam sahaja.

"Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM 1,000 ke akaun suspek. Difahamkan suspek telah memberikan identiti (ID) dan kata laluan bagi laman web pelaburan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, selepas membuat pelaburan itu, mangsa mendapati pulangan sebanyak RM16,000 telah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Bagaimanapun, suspek meminta beberapa bayaran sebelum mangsa dapat mengeluarkan duit tersebut.

"Difahamkan mangsa telah membuat beberapa bayaran sehingga mengalami kerugian sebanyak RM22,300

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sekiranya ingin membuat pelaburan, boleh membuat semakan atau mendapatkan maklumat daripada agensi Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan tidak wujud," ujarnya.