Hidup kacau-bilau tiada air, perlukah gali perigi?

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KRISIS bekalan air di Selangor baru-baru ini sekali lagi mengundang amarah ramai. Masakan tidak, ia berlaku pada saat menjelang sambutan Krismas.

Bukan itu sahaja, ramai juga yang telah merancang majlis perkahwinan ataupun kenduri.

Merak Jalanan antara yang terkesan. Rutin harian jadi kacau-bilau. Ketika itu, rasa bengang memang tak boleh bawa bincang lagi.

Jiran yang baru kehilangan anggota keluarganya dan mahu mengadakan kenduri arwah terpaksa membatalkan hasrat begitu sahaja.

Sudahlah keperluan berjumlah ribuan ringgit sudah dibeli, malah saudara-mara dari jauh sudah pun mulakan perjalanan ke rumahnya.

Perasaan hampa, geram, sakit hati dan tak puas hatinya jelas pada riak wajah tuan punya badan.

Merak Jalanan faham emosinya yang sedang menggelegak, tapi dah tak tahu nak cakap apa dah.

Itu satu hal. Kami ingatkan bekalan air akan pulih pada hari esok atas kesedaran tak mahu kemeriahan Krismas terjejas, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Tiada pilihan lain, penduduk taman terus menghubungi Air Selangor untuk memohon bantuan air.

Apa yang terjadi, pada lewat malam keesokan harinya, lori tangki air baru muncul. Keterdesakan membuatkan kami pedulikan soal tidur. Berbondong-bondong penduduk termasuk si kecil menunggu giliran lori tangki di lorong masing-masing hingga jam 3 pagi.

'Kejadian' tiada air di Selangor mengingatkan Merak Jalanan terhadap pengalaman mengharungi krisis sama di Melaka pada tahun 1991.

Pada masa itu, hidup memang cukup derita. Berbulan-bulan lamanya, dengan tubuh yang kecil Merak Jalanan pergi menimba air di perigi.

Sebagai solusi sementara ketika itu, beberapa telaga digali di kawasan kampung kami. Memang tidak sesuai untuk diminum, tapi sekurang-kurangnya boleh dibawa mandi dan mencuci.

Bila difikirkan semula, adakah pendekatan sebegitu perlu dibuat setiap perumahan di Selangor memandangkan isu bekalan terputus seperti tidak bernoktah atau kerajaan negeri punya idea yang lebih bernas? Sampai bila mahu lihat rakyat terus menderita?