Bekalan air di empat wilayah pulih sepenuhnya

Status pemulihan bekalan air melibatkan 221 kawasan di empat wilayah terjejas susulan henti tugas sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih selesai sepenuhnya pada Ahad. - Gambar hiasan
Status pemulihan bekalan air melibatkan 221 kawasan di empat wilayah terjejas susulan henti tugas sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih selesai sepenuhnya pada Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Status pemulihan bekalan air melibatkan 221 kawasan di empat wilayah terjejas susulan henti tugas sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih selesai sepenuhnya pada Ahad.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan semua kawasan pulih 100 peratus iaitu Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat termasuk Petaling.

"Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air bagi 221 kawasan di empat wilayah Air Selangor iaitu Petaling (64 kawasan), Hulu Langat (29 kawasan), Sepang (119 kawasan) dan Kuala Langat (9 kawasan) yang terjejas berikutan henti tugas sementara LRA Sg Semenyih pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari pada Ahad.

"Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," kata agensi di laman Facebooknya pada Ahad.

Kata kenyataan itu, tempoh pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan agar menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar,” katanya.

Pada Sabtu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa pencemaran di stesen pam air mentah Jenderam Hilir dipercayai berpunca daripada pati minyak wangi akibat kemalangan di Lebuhraya Elite di Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu.,

Bagaimanapun, aliran yang tercemar dijangka dialir (flush) dalam tempoh tiga hingga ke empat jam dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit. Bacaan pada 8.45 malam mencatat 1 TON.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah berjaga-jaga, Air Selangor menghenti tugas sementara loji tersebut pada 7 malam pada hari sama.