Enam bayi Tahun Baharu 2023 lahir di Hospital Melaka

Kalsom (tiga,kiri) melawat tiga daripada enam bayi yang dilahirkan di Hospital Melaka di sini, pada Ahad.
Kalsom (tiga,kiri) melawat tiga daripada enam bayi yang dilahirkan di Hospital Melaka di sini, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Enam bayi bertuah apabila dilahirkan pada Tahun Baharu 2023 di Hospital Melaka di sini, bermula jam 1.20 pagi.

Sehingga jam 9 pagi hospital berkenaan menerima seramai empat bayi lelaki dan dua bayi perempuan.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Noordin, berkata, lima daripada bayi berkenaan dilahirkan secara normal manakala seorang dilahirkan secara pembedahan.

Menurutnya, semua ibu yang baharu bersalin akan menerima rawatan susulan yang terbaik daripada pihak hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri.

"Dengan adanya pusat-pusat kesihatan sekarang ini saya rasa cukup memberi khidmat terbaik kepada bakal ibu-ibu.

"Mereka datang tiap minggu dan setiap bulan untuk membuat rawatan, apa yang boleh saya katakan memang cukup lengkap apa yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat wanita-wanita yang baharu menerima cahaya mata di Hospital Melaka di sini, pada Ahad.

Tambahnya, setakat ini tiada kelahiran baharu direkodkan di dua lagi hospital kerajaan di Melaka iaitu Hospital Alor Gajah dan Jasin sehingga jam 1 petang.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu turut menyampaikan cenderahati kepada ibu terbabit sebagai tanda ucapan tahniah atas kelahiran berkenaan.