Badan Berkanun Negeri catat keuntungan lebih baik

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Prestasi Badan Berkanun Negeri Sembilan menunjukkan perubahan lebih baik apabila mencatatkan keuntungan sebanyak RM36.7 juta pada tahun lepas berbanding tahun 2018 hanya RM5.23 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berdasarkan rekod tiga badan berkanun negeri termasuk anak-anak syarikat di bawahnya dengan mencatatkan keuntungan 602.36 peratus dalam tempoh tersebut.

Malah jelasnya, peningkatan keuntungan ini turut memberikan pulangan dalam bentuk hasil kepada kerajaan negeri apabila masing-masing sudah mula menjelaskan bayaran tunggakan hutang-hutang kepada kerajaan negeri.

"Hasil ini sudah pastinya dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk seperti inisiatif dan pembangunan infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, pihaknya komited untuk memperkasakan kesemua Badan-badan Berkanun Negeri dan anak-anak syarikat di bawahnya.

"Pelbagai program Business Process Re-engineering telah dilakukan seperti pelaburan strategik, penstrukturan korporat, penyusunan semula anak-anak syarikat, projek usahasama, penerokaan hasil-hasil baharu dan tadbir urus yang baik.

"Usaha-usaha ini telah berjaya mentransformasikan sebahagian besar Badan-badan Berkanun Negeri. Antara yang berjaya diperkasa adalah Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) telah mencatatkan keuntungan RM10.87 juta pada tahun 2021 berbanding RM2.34 juta pada tahun 2018.

"Negeri Roadstone Sdn Bhd (NRSB) anak syarikat PKNNS merekodkan keuntungan RM8.92 juta pada tahun 2021 berbanding RM1.19 juta pada tahun 2018," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Yayasan Negeri Sembilan (YNS) pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM13.71 juta pada tahun 2021 berbanding RM2.52 juta pada tahun 2018.

"Manakala anak syarikat YNS iaitu Kumpulan Akademi YNS turut berjaya mengurangkan kerugian dengan hanya RM264,000 pada 2021 berbanding kerugian RM816,000 pada tahun 2018.

"Begitu juga dengan YNS Event Management (YNSEM) iaitu anak syarikat YNS mencatatkan keuntungan sebanyak RM198,000 pada tahun 2021 berbanding kerugian RM30,000 pada tahun 2018.

"... Dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dengan keuntungan sebanyak RM3.29 juta pada tahun 2021 berbanding RM27,000 pada tahun 2018," katanya.