Suami isteri didakwa aniaya anak lapan tahun hingga cedera

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia lapan tahun hingga menyebabkannya cedera, minggu lalu.

Buruh, Abu Bakar Rahman, 32, dan penjual buah warga Indonesia, Andia Rosa, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun lima bulan didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan terhadap anak kedua daripada empat beradik itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah di sini pada 23 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn mencadangkan Abu Bakar diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

"Bagi Andia, pendakwaan tidak menawar ikat jamin kerana dia merupakan warga asing," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan ikat jamin pada kadar rendah.

Mahkamah membenarkan Abu Bakar diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, sementara Andia tidak dibenarkan untuk diikat jaminan.
Artikel Berkaitan:


Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Januari tahun depan.