Jawatan presiden dipertanding: UMNO Perak ikut keputusan MKT

Saarani. - Foto Bernama
Saarani. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - UMNO Perak akan mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu wajar dipertandingkan atau sebaliknya dalam pemilihan akan datang.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, buat masa ini tiada mana-mana pihak membuat ketetapan melainkan cadangan daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

"UMNO Perak belum buat keputusan kerana kita hanya akan mengadakan mesyuarat pada 8 Januari dan MKT bermesyuarat pada 5 Januari.

"Kita akan berbincang dalam MKT dahulu, tengok keadaan sebab akan ada pro dan kontra mengenainya (jawatan dipertandingkan). Ada kata bagus ada kata tak bagus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Jumaat.

Saarani yakin MKT UMNO dapat membuat keputusan terbaik bagi dua jawatan tertinggi parti itu demi pengukuhan parti.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah menyatakan pendirian secara demokrasi tidak mahu menyekat sebarang keputusan berkaitannya.

"Saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid telah jelaskan menerusi wawancara baru-baru ini bahawa sebagai demokrat, beliau tidak mahu menyekat dan beliau berikan kebebasan. Jadi (setakat ini) tiada lagi keputusan muktamad daripada parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini, mendesak agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan demi memastikan kesatuan dalam parti.

Bagaimanapun, banyak pihak berpandangan agar kedua-dua jawatan itu wajar dipertandingkan demi menyuburkan demokrasi di dalam parti.

Pada Isnin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, parti belum memutuskan mengenai perkara tersebut dan hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.