Sedia garis panduan Covid-19 baharu untuk pelancong dari China

Keputusan China untuk melonggarkan pengurusan Covid-19 bermula 8 Januari depan mengundang pelbagai reaksi masyarakat dunia termasuk Malaysia. - Gambar hiasan
Keputusan China untuk melonggarkan pengurusan Covid-19 bermula 8 Januari depan mengundang pelbagai reaksi masyarakat dunia termasuk Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN China untuk melonggarkan pengurusan Covid-19 bermula 8 Januari depan mengundang pelbagai reaksi masyarakat dunia termasuk Malaysia.

Walaupun kelonggaran tersebut mampu merancakkan kembali industri pelancongan di kebanyakan negara, namun masih ada pihak yang bimbang dengan penularan wabak itu khususnya daripada pengembara China.

Minggu lalu media melaporkan, bandar terbesar di China iaitu Shanghai merekodkan sejumlah 5.43 juta kes positif Covid-19 dalam kalangan 25 juta penduduknya.

Angka tersebut sememangnya sangat besar dan secara tidak langsung memberi kebimbangan kepada penduduk dunia sekiranya ada dalam kalangan mereka yang bertindak ke luar negara selepas sembuh, namun belum ditentukan sahkan bebas jangkitan sepenuhnya.

Kegusaran ini turut disuarakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengambil contoh ramai rakyat China yang disahkan positif wabak itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Milan, baru-baru ini.

Justeru soalnya, adakah kerajaan sudah bersedia untuk berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19 dari negara tanah besar itu sekiranya rakyat republik itu dibenarkan memasuki Malaysia.

Kebimbangan sama turut diluahkan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun yang menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong China.

Meskipun impak secara langsung pembukaan semula sempadan republik itu amat positif kepada sektor ekonomi memandangkan China adalah rakan dagang utama negara ini, namun kebimbangan industri pelancongan juga perlu diambil kira.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya berlaku gelombang besar penularan wabak itu di negara ini, sudah pasti industri pelancongan akan terkesan teruk, mungkin akan terpaksa memberhentikan operasi perniagaan.

Oleh yang demikian diharapkan kerajaan dapat menetapkan satu dasar atau garis panduan yang bersesuaian, merangkumi situasi menang-menang terhadap sektor ekonomi dan pelancongan negara agar kedua-dua industri berkenaan tidak terkesan teruk selepas ini.