Agih bantuan guna sistem antarabangsa

Wan Abu Bakar menyusun pek makanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pasir Mas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Wan Abu Bakar menyusun pek makanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pasir Mas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
A
A
A

PASIR MAS - Sebanyak RM80,000 disalurkan kepada lebih 841 keluarga mangsa banjir di negeri ini melalui sistem antarabangsa, SARTopo.

Sistem itu menggunakan kaedah pemetaan asas dan koordinasi lokasi untuk pembahagian bantuan secara adil dan menyeluruh.

Usaha gabungan dua sahabat, Timbalan Komander III, Pengarah Kompetensi Kemahiran Khas dan Latihan, Muhd Fauzi Ab Jabar dan Pegawai Koordinasi Sekolah Lapangan Kemanusiaan, Bulan Sabit Merah Malaysia Ibu Pejabat, Wan Abu Bakar Wan Omar membolehkan agihan sebanyak itu dilakukan dalam tempoh 11 hari bermula 20 Disember lepas.

Muhd Fauzi bersyukur dengan kemahiran sahabatnya itu yang mempunyai kepakaran dalam sistem koordinasi antarabangsa dan diiktiraf sebagai seorang Koordinator Kemanusiaan - Awam dan Ketenteraan Bangsa-bangsa Bersatu, Sel Koordinasi USAR dan Sel Koordinasi Pasukan Kecemasan Perubatan.

Menurut beliau, antara agensi terlibat dalam koordinasi itu ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Mas dan Tumpat,

Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Mas, Angkatan Pertahanan Awam Pasir Mas dan Rantau Panjang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan.

Sesi penyerahan barangan pencucian kepada wakil Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (1).
Sesi penyerahan barangan pencucian kepada wakil Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (1).

"Koordinasi lokasi itu penting dalam menentukan hala tuju serta kesan terbaik dalam pengurusan bencana," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pasir Mas di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Melalui operasi itu, seramai 105 sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat turut melaksanakan operasi menyelamat 425 keluarga di Pasir Puteh dengan kekuatan 10 bot dan lori.

Wan Abu Bakar berkata, usaha membantu mangsa mendapat sokongan agensi kerajaan dan penyelamat melalui kesungguhan penduduk setempat dan rakan-rakan dari seluruh negara.

"Kita turut membantu memberikan sokongan emosi dan perubatan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas," katanya.

Beliau bersyukur kerana ramai rakyat Malaysia membantu selain menerima tajaan daripada Kembara Kitchen dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.

Beliau berkata, penggunaan sistem pemetaan asas itu sebagai percubaan untuk membantu NGO dan agensi dalam menentukan proses penilaian dan bantuan diterima dengan baik.

"Saya juga telah mencipta aplikasi melalui telefon dan web untuk dan melancarkan tugasan sekali gus menjimatkan masa mangsa untuk diselamatkan," katanya.

Wan Abu Bakar menunjukkan MyResQ Demo Unit yang masih dalam pembinaan.
Wan Abu Bakar menunjukkan MyResQ Demo Unit yang masih dalam pembinaan.

Bagaimanapun katanya, mereka kini sedang berusaha membina sistem sendiri yang dikenali sebagai MyResQ bagi memudahkan rakyat Malaysia berhubung dengan anggota keselamatan dan kumpulan NGO.

"Sebanyak 15 NGO di seluruh negara disenaraikan melalui sistem percuma ini dan mereka akan diberi tunjuk ajar bagi memudahkan koordinasi dilakukan untuk operasi bantuan dan menyelamat," katanya.