Kekang LGBTQ, punca peningkatan HIV di Malaysia

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif membendung gejala budaya songsang lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) yang didakwa antara punca peningkatan kes jangkitan HIV di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, gaya hidup tersebut turut menyumbang kepada peningkatan perceraian dalam kalangan rakyat.

“Mengikut laporan ‘In Danger: UNAIDS Global AIDS Update 2022’ untuk 2022 menyatakan terdapat peningkatan ketara jangkitan HIV dan AIDS di 38 buah negara dari tahun 2015. Gaya hidup songsang dinyatakan sebagai penyumbang utama.

“Ini disokong oleh data daripada pusat kawalan penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang menyatakan 70 peratus daripada jangkitan baharu HIV di Amerika Syarikat pada tahun 2019 disumbang oleh pengamal gaya hidup songsang (gay).

“Data daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan peningkatan jumlah golongan gay hampir 100 peratus iaitu seramai 310,000 individu pada tahun ini daripada 173,000 individu lima tahun lalu dan ini menjadi antara penyumbang utama kes perceraian di Malaysia.

“Kami di pihak Armada percaya, sudah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah yang sama dan lebih proaktif dalam melindungi keluarga nukleus di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik pada Khamis.

Pada masa yang sama, Wan Ahmad Fayhsal menambah, beliau menyambut baik keputusan Rusia memerangi LGBTQ dan usaha Indonesia mencegah hubungan luar nikah dalam kalangan rakyatnya.

Jelasnya, kerajaan mesti tegas dalam membendung perkara sedemikian kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerosakan moral tetapi juga kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan undang-undang anti LGBTQ Rusia diambil kerana undang-undang asal yang diluluskan pada 2013 memfokuskan kepada membendung penyebaran budaya LGBTQ dalam kalangan kanak-kanak sahaja dan pindaan terbaru ini akan turut merangkumi pencegahan terhadap golongan dewasa juga.

“Pindaan di Indonesia menurut jurucakap pasukan perhubungan rang undang-undang kanun jenayah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Albert Aries adalah untuk melindungi institusi perkahwinan.

“Pihak Armada percaya, jika langkah yang lebih tegas tidak diambil, bukan saja negara akan dilanda kerosakan moral, malah juga krisis kesihatan akan berada di luar kawalan,” ulasnya.