[VIDEO] Kastam bongkar taktik ubah suai kontena seludup rokok

Misbahudin (kiri) melihat rokok seludup yang disembunyikan di lantai kontena pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai pada Khamis.
Misbahudin (kiri) melihat rokok seludup yang disembunyikan di lantai kontena pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok ke Australia dianggarkan bernilai RM426,000 yang disembunyikan di dalam lantai sebuah kontena hasil pemeriksaan yang dilakukan di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, rampasan pada jam 11.35 pagi itu merupakan hasil maklumat Cawangan Narkotik JKDM.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi menemukan 428,000 batang rokok putih disembunyikan di ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu tandas, tisu dapur dan tisu basah.

Misbahudin (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.
Misbahudin (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

"Rokok putih yang diseludup akan disimpan sementara sebelum dieksport. Pihak syarikat telah menempah awal satu unit kontena berukuran 12 meter daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

"Sementara bahagian lantai kontena tersebut telah diubah bagi meletakkan rokok putih yang diseludup. Bagi mengaburi kegiatan mereka, pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke Australia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Misbahudin (dua dari kiri) menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, pada Khamis.
Misbahudin (dua dari kiri) menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, pada Khamis.

Misbahudin berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun yang merupakan wakil syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya berjaya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur.

"Bertindak atas maklumat risikan, pada 5 Disember lebih kurang jam 12.30 tengah hari, sepasukan anggota kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan telah diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah," katanya.

Misbahudin (empat dari kanan) menunjukkan besi skrap yang disita pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, pada Khamis.
Misbahudin (empat dari kanan) menunjukkan besi skrap yang disita pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, pada Khamis.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.