Sokongan padu penyokong TRW barakan jiwa Keon

Khairul Helmi - Foto TRW Kelantan FC
Khairul Helmi - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC tetap memiliki aura tersendiri terutamanya daripada aspek aura para penyokong The Red Warriors (TRW) menjelang saingan Liga Super 2023.

Pertahanan Kelantan FC, Khairul Helmi Johari mengakui kali pertama beraksi bersama Kelantan pada musim 2022, begitu mengagumi sokongan para penyokong TRW sehingga skuad itu berjaya untuk meraih naib juara Liga Premier musim ini.

Malah katanya, dia percaya kelab pantai timur tersebut mampu untuk kembali menjadi lawan yang digeruni selepas ini.

“Tahun pertama saya dekat Kelantan, saya dapat lihat penyokong-penyokong begitu fanatik dan teruja untuk memberikan sokongan kepada pasukan dan mereka turut mengalu-alukan kehadiran saya.

“Apatah lagi selepas ini Kelantan akan beraksi di Liga Super, jadi sudah tentu sesuatu yang lebih berbeza akan kita saksikan dan saya percaya penyokong juga tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan yang lebih sengit.

“Sebelum ini saya sudah bersama Kedah dan kali ini apabila bersama Kelantan, saya tetap teruja untuk memberikan sehabis baik kerana penyokong juga memberikan segala-galanya, jadi saya akan kekal di sini untuk teruskan perjuangan,” kata bekas pemain Kedah itu.

Pada masa dia yang lebih mesra dengan panggilan Keon turut memuji usaha keras ditampilkan para pemain muda untuk terus menimba pengalaman sebaiknya dan selaku pemain lebih senior, dia bersedia untuk terus membantu.

Malah dia positif Kelantan akan mampu untuk berada di tahap terbaik seiring dengan sasaran untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi perkembangan pemain muda untuk pasukan ini, apa yang saya tengok dalam latihan dan juga perlawanan, mereka sememangnya bagus dan boleh diketengahkan lagi pada masa hadapan.

“Mungkin ada sesetengah pemain yang bersaing sengit untuk mendapat tempat dan pemain yang dapat diturunkan juga tidak mengecewakan untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Dan saya percaya dengan persiapan yang lebih rapi, pembentukan skuad yang lebih mantap, insya-ALLAH kita akan mendapat kedudukan yang lebih baik pada musim depan,” katanya.