'Rafizi tidak patut kaitkan PN jika formula gagal'

A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak sepatutnya mengaitkan kegagalan formula kawalan harga barangan dengan Perikatan Nasional (PN), seolah-olah cuba mengalihkan isu tersebut kepada pihak lain.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, rakyat tidak akan terpengaruh dengan watak ‘badut’ politik seperti itu, yang sekadar menghiburkan penonton di pentas ceramah politik, namun hakikatnya tidak mampu bertindak untuk menurunkan harga barang.

“Kenyataan beliau menggambarkan menteri yang sombong, tidak sepatutnya salahkan PN atas kegagalan untuk mengotakan segala formula bombastik yang pernah beliau utarakan ketika menjadi pembangkang dahulu,” katanya di sini pada Rabu.

Ketua Pemuda Pas Kedah itu menegaskan, dalam keadaan ekonomi yang memerlukan penyelesaian tuntas, negara memerlukan pemimpin yang boleh meredakan perasaan rakyat sebelum menerima jalan penyelesaian dicadangkan.

Pada Sabtu, Rafizi dilaporkan berkata tidak takut pada pandangan umum sebaliknya yakin rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta apa yang disarankan.

Beliau berkata, dalam sebulan lagi, 'geng-geng' PN yang mempertikaikan semua itu akan terduduk.

Rafizi berkata demikian ketika menjawab kecaman yang dilemparkan berhubung kenyataannya yang menasihatkan pengguna untuk tidak membeli barangan yang dijual melebihi daripada harga purata.

Sementara itu, Nurul Amin percaya, sekiranya pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia tidak menunjukkan kematangan dalam urus tadbir negara, tidak mustahil kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu hanya bertahan dalam tempoh paling singkat dalam sejarah negara.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana ramai pimpinan dalam gabungan tersebut sudah pun menunjukkan kesedaran terhadap kekusutan yang berlaku,” ujar Ahli Parlimen Padang Terap itu lagi.

Tegasnya, gelombang rakyat bersama PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah disebabkan rakyat yakin dengan kredibiliti pemimpin PN yang tidak menjual ‘maruah’ semata-mata untuk mendapatkan sokongan.