'Selenggara, tebang pokok balak sudah matang'

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung aduan penduduk mengenai projek penanaman balak yang dipercayai telah capai tempoh matang.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung aduan penduduk mengenai projek penanaman balak yang dipercayai telah capai tempoh matang.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Agensi berkaitan digesa mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan atau menebang lebih 2,500 pokok balak di pekarangan Masjid Sultan Abdul Halim di sini yang didakwa mengancam keselamatan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berkata, ia berikutan aduan awam yang diterima memaklumkan bahawa wujud kebimbangan penduduk di Taman Ria Jaya itu sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Menurutnya, ada antara penduduk yang mendakwa nyaris dihempap ranting rapuh serta menjadi mangsa angin kencang dan ribut semasa hujan lebat berlaku di perumahan berkenaan.

"Saya perlu dapatkan informasi perkembangan terkini, kalau proses untuk tebang dengan Jabatan Perhutanan dah berlaku, kenapa masih menunggu agak lama.

"Kita nak percepat kerana mungkin dengan keadaan pokok semakin tinggi boleh menganggu penduduk sekitar, kita gesa pihak berwajib cepat proses agar dapat cari penyelesaian dan keluar daripada isu ini," katanya.

Mohammed Taufiq
Mohammed Taufiq

Beliau ditemui ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tautan Kasih Bersulam Kenangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda Tahun 2022 pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, projek yang pada awalnya dijangka mampu menjana pendapatan kepada kira-kira 30 peserta itu bagaimanapun masih belum mendatangkan manfaat berikutan pokok yang dipercayai telah mencapai usia matang, belum ditebang sehingga kini.

Keadaan itu didakwa menyebabkan berlaku semak-samun, berpotensi berlaku kegiatan jenayah, banyak daun kering gugur, longkang tersumbat, kehadiran haiwan berbisa, kerosakan bumbung akibat laluan air tersumbat disebabkan sisa daun dan ranting kayu selain risiko keselamatan ketika musim hujan dan ribut.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan keluhan penduduk berhubung projek penanaman berkenaan yang dikatakan tidak diselenggara ataupun ditebang sehingga mengancam keselamatan mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq berkata, majlis makan malam yang dianjurkan APM adalah salah satu cara menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menanggani wabak Covid-19.

Selain itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, APM turut meraikan rakan sukarelawan lain yang turut aktif membantu menguruskan jenazah Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Antaranya ialah Pasukan Tindakbalas dan Kecemasan Pertahanan Awam - Cdert Madad, Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani dan Skuad Sungai Petani.

Turut diadakan, beberapa anugerah dan penyampaian sijil penghargaan atas jasa dan perkhidmatan, persembahan APM dan cabutan bertuah.