Projek balak didakwa ancam keselamatan penduduk

Kedudukan pokok balak yang terlalu hampir dengan rumah melahirkan kebimbangan penduduk. (Gambar kecil: Mohd Khalid)
Kedudukan pokok balak yang terlalu hampir dengan rumah melahirkan kebimbangan penduduk. (Gambar kecil: Mohd Khalid)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Projek penanaman balak membabitkan lebih 2,500 pokok di kawasan tanah terbiar Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya di sini, tujuh tahun lalu dikhuatiri mampu mengancam keselamatan awam.

Seorang penduduk, Mohd Khalid Alaudin, 61, mendakwa, projek terbabit dikatakan telah menimbulkan beberapa masalah antaranya isu keselamatan, kebersihan dan disyaki faktor penyebab kerosakan yang berlaku pada bumbung serta bahagian dalam rumah penduduk.

Menurutnya, kejadian ribut sehingga mencetus kepada kejadian pokok tumbang atau dahan patah sudah pasti menimbulkan rasa cemas dan bimbang kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk terutama rumah yang terletak berhadapan dengan lokasi projek berkenaan.

"Kereta anak saya nyaris dihempap batang pokok yang jatuh betul-betul di hadapan, mujur sempat brek, bayangkan jika ia jatuh atas bumbung kereta atau terkena pada penunggang motosikal," katanya.

Menurutnya, keadaan pokok yang semakin membesar juga dikhuatiri berpotensi menjadi semak dan habitat haiwan liar dan berbisa.

Jelasnya, penduduk tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Tak kan nak tengok berlaku kemalangan jiwa, barulah semua pihak mahu bertindak," tegasnya.

Fadzilah menunjukkan palung yang dipenuhi daun kering menyebabkan laluan air tersumbat sehingga mengalir ke siling dan dinding rumah terutama ketika hujan lebat.
Fadzilah menunjukkan palung yang dipenuhi daun kering menyebabkan laluan air tersumbat sehingga mengalir ke siling dan dinding rumah terutama ketika hujan lebat.

Bagi Yap Peng Lim, 70, pula, berpendapat pokok yang dikatakan telah mencapai usia matang dan terlalu tinggi itu boleh tumbang pada bila-bila masa terutama ketika ribut.

"Pernah jatuh menghempap kabel elektrik dan menghalang laluan jalan menyebabkan penduduk cepat-cepat bantu bersihkan kawasan bagi mengelakkan gangguan bekalan.

"Sekiranya berlaku kejadian buruk, siapa yang akan bertanggungjawab dan adakah penduduk dibayar pampasan atas kerosakan yang kami dihadapi?," soalnya.

Dalam pada itu, Heng Hooi Pheng, 81, memberitahu dia terpaksa membersihkan bumbung rumahnya sepanjang masa kerana sering dipenuhi daun kering yang luruh dan berisiko menyebabkan saluran air palung kediamannya tersumbat sehingga memberi tekanan dan seterusnya bocor melalui siling.

"Saya terpaksa cuci atas bumbung dan ada penduduk yang terpaksa mengupah orang untuk bersihkan bumbung dengan kadar RM100 hingga RM200 kerana bimbang palung tersumbat sehingga menyebabkan kos baik pulih lebih tinggi," katanya.

Kejadian pokok tumbang setiap kali hujan menimbulkan kegusaran penduduk.
Kejadian pokok tumbang setiap kali hujan menimbulkan kegusaran penduduk.

Selain itu, Abd Latif Abdullah, 58, berkata, penduduk berharap agar projek penanaman balak itu diberi perhatian pihak terlibat atau diuruskan dengan baik bagi mengelakkan risiko terhadap penduduk yang tinggal berdekatan.

Perkara sama turut diluahkan Tan Swee Shan, 47, apabila setiap kali hujan lebat, ibunya yang berusia 86 tahun terpaksa ditempatkan di bilik belakang kerana bimbang dihempap ranting jatuh.

Ibu tunggal, Fadzilah Abd Aziz, 56, turut melahirkan kerisauan apabila laluan air di bahagian palung rumahnya dipenuhi sisa daun kering sehingga tersumbat menyebabkan air hujan tiada laluan lain sehingga mengalir melalui siling serta mengenai perabot dan kotak suis utama.

Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi pengerusi projek penanaman balak, Datuk Rashid Din mengenai aduan yang dikemukakan.

Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Merbok berkata, sepatutnya kayu balak tersebut sudah diuruskan untuk dipotong dan dijual bagi menjana pendapatan kepada kira-kira 30 anak kariah yang merupakan peserta dalam projek berkenaan.

"Permit telah diluluskan untuk ditebang memandangkan ia sudah melepasi tempoh matang serta sedia memasuki pasaran bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Permit sebelum ini telah tamat tempoh dan kita sedang berusaha untuk permohonan permit buat kali kedua kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah,"katanya.

Jelasnya, setiap proses melibatkan hasil hutan perlu dilakukan melalui prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa serta tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak secara melulu.

"Kita faham apa yang dilalui penduduk serta sedang berusaha mematuhi semua SOP bagi mendapat kelulusan dan berharap ia dapat dilakukan dengan cepat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.