RM1.5 juta kos baik pulih hakisan di sekitar jambatan angkat

Ahmad Amzad ketika meninjau keadaan hakisan dan runtuhan yang berlaku di laluan pejalan kaki berhampiran jambatan angkat di sini. Foto: Facebook Ahmad Amzad
Ahmad Amzad ketika meninjau keadaan hakisan dan runtuhan yang berlaku di laluan pejalan kaki berhampiran jambatan angkat di sini. Foto: Facebook Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM1.5 juta peruntukan diperlukan bagi melaksanakan kerja baik pulih benteng penghadang ombak pecah dan runtuhan tanah di laluan pejalan kaki berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kerja pembaikan kerosakan dan runtuhan tersebut perlu dilaksanakan segera supaya kos yang diperlukan tidak bertambah.

"Difahamkan satu laporan telah diangkat untuk memohon peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) untuk kerja-kerja pembaikian.

"Saya juga akan menulis surat kepada pihak UPEN dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memohon agar kerja-kerja pembaikan ini disegerakan," katanya dalam hantaran Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Ahmad Amzad yang merupakan bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi turut meluangkan masa meninjau keadaan hakisan dan runtuhan yang berlaku di laluan pejalan kaki berhampiran jambatan angkat tersebut.

Menurut beliau, runtuhan tersebut merupakan kali kedua berlaku selepas kejadian pertama pada Oktober lalu.

Jelas Ahmad Amzad, pada ketika itu JPS telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih.

"Runtuhan dan hakisan kali ini lebih besar daripada yang biasa kerana ombak yang kuat.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap pihak berwajib dapat memasang tali rentang keselamatan agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," katanya.