Perak tidak teruskan Pakej Rangsangan Ekonomi

Saarani. - Foto Bernama
Saarani. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak meneruskan penyediaan peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) seperti sebelum ini bagi membantu peniaga dalam tempoh pasca Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat kerana peruntukan Belanja Pembangunan pada Bajet Negeri 2023 telah ditingkatkan sebanyak 30.8 peratus kepada RM395 juta berbanding RM302 juta pada tahun 2022.

Menurutnya, bagi tujuan membantu para peniaga, kerajaan negeri mengekalkan program pembangunan usahawan melalui inisiatif Tabung Usahawan dengan peruntukan RM2 juta serta program-program di bawah Sekretariat Usahawan Perak (STeP).

"Di samping itu, bagi mempelbagaikan kemahiran di kalangan rakyat, kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan terus melaksanakan program-program pembangunan kendiri bagi meningkatkan peluang meningkatkan pendapatan dengan peruntukan berjumlah RM5.5 juta di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Peruntukan-peruntukan yang disediakan adalah secara menyeluruh dan boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk menambahkan pendapatan dan kemahiran diri," katanya ketika menggulung Bajet Negeri Perak 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Sementara itu, Saarani berkata, dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi di kalangan rakyat, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan pelbagai projek berimpak tinggi.

Jelasnya, antara projek tersebut termasuklah Automotive Hi-Tech Valley di Tanjung Malim, Pembangunan Silver Valley Technology Park di Chemor Ipoh, Integrated Park di Simpang Pulai, Projek Pembangunan XP Power (Malaysia) di Seri Iskandar, Smart Paint New Industry 4.0 di Kawasan Perindustrian Bemban dan Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) di Pelabuhan Lumut.

Beliau berkata, secara amnya projek-projek pembangunan yang dirancang itu bakal menjana ratusan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Perak menjelang 2030 dan mencipta limpahan ekonomi di kawasan persekitaran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menaikkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan merapatkan lagi jurang antara golongan kurang berkemampuan dan golongan berada.