Jangan diskriminasi dalam pemberian ubat PrEP

Dari kiri: Ismail, Dr Adeeba, Dr Rafidah, Dr Anita dan Dr Irwan semasa Wacana Sinar edisi ke-375 yang bertajuk PrEP: Tanggungjawab, Pencegahan Penyakit HIV yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Dari kiri: Ismail, Dr Adeeba, Dr Rafidah, Dr Anita dan Dr Irwan semasa Wacana Sinar edisi ke-375 yang bertajuk PrEP: Tanggungjawab, Pencegahan Penyakit HIV yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Diskriminasi terhadap pemberian ubat Pre-Exposure prophylaxis (PrEP) yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap golongan homoseksual adalah sama sekali tidak seharusnya berlaku.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, bagi memastikan masalah HIV di negara dapat dikurangkan, sepatutnya projek rintis pemberian ubat PrEP diberikan kepada semua yang layak tanpa diskriminasi.

“Saya sangat bersetuju,” respons beliau apabila ditanya moderator, Ismail Adnan berkenaan sentimen bantahan dan tidak setuju terhadap pemberian ubat PrEP kepada semua golongan akan menggagalkan usaha membendung HIV.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-375 yang bertajuk PrEP: Tanggungjawab, Pencegahan Penyakit HIV yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Profesor Perubatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar; Ketua Sektor HIV/ Bahagian Rawatan Kawalan (Penyakit) UKM, Dr Anita Suleiman dan Setiausaha Akademi Fiqh Islam Malaysia (Afham), Profesor Dr Irwan Mohd Subri.

Tambah Dr Adeeba, sebanyak 50 peratus mereka yang menghadapi HIV tampil lewat untuk mendapatkan rawatan disebabkan diskriminasi yang berlaku selain risau akan kehilangan kerja, disingkirkan keluarga dan sebagainya.

“Apabila kita memandang dan menggunakan perkataan songsang ini, kalau diskriminasi dan sebagainya, ini menyebabkan golongan ini tidak datang untuk mendapatkan pencegahan.

“Di Malaysia dan rata-rata di Asia Tenggara, 50 peratus daripada mereka yang menghidap HIV akan datang di peringkat yang lambat. Bila ditanya kenapa? Mereka takut, malu, hilang kerja dan takut disingkirkan keluarga dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kita ada rawatan yang amat baik. Tetapi oleh kerana wujudnya bantahan seperti ini (pemberian kepada golongan homoseksual), ini buatkan mereka tidak mahu mengambil rawatan dan menyebabkan ada kalangan mereka yang mengalami tekanan, bunuh diri,” ujarnya.

Tambah beliau, seharusnya bagi seorang doktor, perlu merawat pesakit mereka sebagai hamba ALLAH tanpa melihat latar belakang seseorang itu.

“Saya tidak menghalalkan benda yang haram. Saya faham. Tiada siapa yang menghalalkan. Cuma, bila kita guna perkataan keras, ada bantahan contohnya, bila kamu homoseksual tidak boleh ambil PrEP, kalau yang normal boleh. Ini tidak adil.

“Ubat tidak berkesan cara itu. Sebagai doktor, kita tidak boleh pilih kasih. Kena letak ini semua ke tepi,” jelasnya.