Maszlee akan bertemu Fadhlina secara berkala

Gambar yang dikongsikan Maszlee di Facebooknya.
Gambar yang dikongsikan Maszlee di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan mengadakan pertemuan berkala bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi menyampaikan suara dan isi hati berkaitan isu pendidikan.

Menurut beliau, suara-suara yang akan disampaikan antaranya melibatkan para pendidik, ibu bapa, anak-anak, para pekerja tadbir, warga kerja pendidikan, pengusaha-pengusaha kantin dan semua pemegang taruh pendidikan.

“Banyak memori yang terpahat di bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini. Insya-ALLAH kita bangunkan memori yang lebih indah di masa hadapan bersama sebagai satu pasukan demi warga dan nusa tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Tambah Maszlee, Fadhlina turut diyakini akan mengangkat kembali martabat dan kedudukan para pendidik dengan pelbagai inisiatif.

“Serta meringankan beban yang tidak sepatutnya digalas oleh para guru selama dua tahun semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lalu,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut diyakini komited dalam memperjuangkan agenda pendidikan anak bangsa tanpa diskriminasi dan penuh dengan nilai manusiawi.

“Bersama kita rakyat Malaysia memastikan pendidikan akan kembali menjadi agenda utama negara, dan melestarikan tekad pendidikan untuk semua, tanggungjawab kita bersama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: