4,394 asnaf Pulau Pinang terima saguhati RM600

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengumumkan agihan Saguhati Khas Akhir Tahun (SKAT) 2022 secara sekali gus (one-off) sebanyak RM600 melibatkan seramai 4,394 orang asnaf.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, mereka yang menerima saguhati terdiri daripada penerima manfaat Skim Agihan Kewangan Bulanan dan Skim Agihan Makanan Bulanan ZPP.

Menurutnya, sebanyak RM2.636 juta diperuntukkan untuk pemberian saguhati itu yang mana akan dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun bank penerima manfaat sebelum Januari 2023.

"ZPP berharap SKAT 2022 ini dapat memberi kelegaan dan mengukir senyuman kepada penerima manfaat serta keluarga seterusnya membantu dalam menampung perbelanjaan hujung tahun 2022 ini.

"ZPP juga akan mengumumkan beberapa penambahbaikan kadar agihan zakat untuk beberapa skim pada awal tahun 2023 bagi memastikan kelangsungan hidup golongan asnaf khasnya fakir miskin di Pulau Pinang dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu menjelang tahun 2023," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mengingatkan umat Islam di negeri ini yang masih belum melaksanakan kewajipan berzakat pada tahun 2022 agar segera menunaikan tanggungjawab.

Katanya, pembayaran zakat boleh dibuat melalui pelbagai saluran dan kaedah pembayaran seperti yang diuar-uarkan di semua platform media sosial ZPP.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat khasnya dan seluruh masyarakat Islam umumnya yang telah menyokong dan mendukung usaha ZPP dalam menyantuni asnaf di Pulau Pinang.

"ZPP komited memastikan agar zakat yang anda tunaikan di ZPP dapat diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Semoga usaha yang dilakukan oleh ZPP sepanjang tahun 2022 dan tahun-tahun mendatang akan beroleh keberkatan di sisi ALLAH SWT dan sama-sama kita berdoa agar matlamat ZPP untuk memacu keharmonian ummah sentiasa dipermudahkan oleh-Nya," katanya lagi.