Agihan kerusi PRN Pulau Pinang 95 peratus selesai

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Proses pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Pulau Pinang sudah 95 peratus selesai.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, masih ada beberapa kerusi yang belum diputuskan kerana berlaku pertindihan pada kerusi penyandang.

Menurutnya, mesyuarat ketiga antara PH dan BN akan diadakan di ibu negara pada Selasa untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi bagi PRN Pulau Pinang.

"Esok (Selasa) kita akan mengadakan mesyuarat kali ketiga antara PH dan BN Pulau Pinang. Saya berharap, mesyuarat kali ini adalah yang terakhir kerana sehingga kini, pengagihan kerusi sudah 95 peratus selesai.

"Jika masih tidak ada keputusan mungkin perlu serah kepada Pusat untuk membuat keputusan. Masih ada satu dua kerusi lagi yang masih dalam rundingan kerana berlaku pertindihan.

"Di bawah prinsip penyandang ada pertindihan kepada kerusi-kerusi tersebut kerana ada permintaan daripada parti komponen," katanya kepada media selepas hadir merasmikan Interactive Edutainment Programme di Hospital Gleneagles di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Kon Yeow berkata, MIC dan MCA Pulau Pinang telah meminta beberapa kerusi untuk ditandingi dalam PRN akan datang.

Permintaan itu dibuat dalam mesyuarat antara PH dan BN Pulau Pinang pada 20 Mei lalu.

Pada Mei lalu, Kon Yeow mengumumkan bahawa BN akan diberi peluang untuk mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Pulau Pinang pada PRN ini.

Kata beliau, keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat yang diadakan pada Rabu dua minggu lalu memutuskan bahawa semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang masing-masing.

Beliau menambah, berdasarkan prinsip yang dipersetujui iaitu semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang, PH tidak akan meminta kerusi-kerusi berkenaan daripada UMNO atau BN.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN mempunyai dua kerusi manakala Pas memenangi satu kerusi iaitu Penaga.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang anti lompat parti.