1,903 kertas siasatan jenayah komersial dibuka di Pahang

 Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,903 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai jenayah komersial di Pahang dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,775 adalah kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kes penipuan itu membabitkan e-dagang, Macau Scam dan pinjaman tidak wujud.

Katanya, sebanyak 701 kes penipuan e-dagang dengan jumlah kerugian lebih RM8.2 juta direkodkan.

"Kes ini melibatkan penipuan pembelian dalam talian. Transaksi ini melibatkan pembayaran kepada pesanan dalam talian yang tidak wujud.

"Macau Scam pula sebanyak 282 kes membabitkan jumlah kerugian RM8.8 juta. Dalam kes kebiasaan mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan mendakwa mereka terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada Selasa.

Ramli berkata, bagi pinjaman tidak wujud merekodkan 239 kes dengan nilai kerugian hampir RM3.3 juta.

"Kebanyakan mangsa yang terpedaya selepas melihat iklan di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, kes penipuan itu mungkin berkaitan rapat dengan penjualan data-data daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita perlu kajian lebih lanjut untuk mengaitkan dengan kecurian data peribadi ini yang dikatakan dijual kepada pihak-pihak tertentu bagi tujuan jenayah," kata beliau.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran sama ada menerusi laman sosial Facebook atau panggilan telefon daripada sindiket penipuan.