SnET bantu tangani isu beg berat

Bank Rakyat dan SK Seri Permai bekerjasama dalam menjayakan inovasi SnET yang memanfaatkan lebih 1,300 murid di sekolah berkenaan.
Bank Rakyat dan SK Seri Permai bekerjasama dalam menjayakan inovasi SnET yang memanfaatkan lebih 1,300 murid di sekolah berkenaan.
A
A
A

BANK Rakyat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai bekerjasama dalam menjayakan inovasi Smart and Easy Table (SnET) yang memanfaatkan lebih 1,300 murid di sekolah berkenaan.

Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan, SnET merupakan inisiatif pengubahsuaian meja sekolah pertama di Malaysia.

SnET dilaksanakan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda (SMKRTU) serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, usaha kerjasama itu merupakan salah satu inisiatif Jangkauan Komuniti Bank Rakyat untuk menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah rendah.

"Kerjasama ini juga bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan inovasi SnET agar murid dapat merancang dan mengurus keperluan pembelajaran mereka dengan lebih efisien menggunakan lokar simpanan dan kompartmen sisi yang diubah suai pada meja sedia ada mereka.

"Idea inovasi SnET yang dicetuskan oleh Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail melibatkan 666 buah meja yang diubah suai dengan dua lokar berkunci untuk simpanan buku bagi kegunaan murid sesi pagi dan petang.

"Selain itu, terdapat tiga kompartmen sisi untuk penyimpanan barangan peribadi murid seperti kotak pensel, botol air dan satu ruangan khusus untuk tabung Kelab Nuri Bank Rakyat," kata kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, inisiatif tersebut juga merupakan usaha berterusan Bank Rakyat dalam mempertingkatkan literasi dan rangkuman kewangan dalam kalangan murid menerusi penyediaan tabung Kelab Nuri sekali gus memperkasakan budaya menabung dalam kalangan generasi muda.

Artikel Berkaitan: