Banjir: 45 fasiliti kesihatan terjejas di Terengganu

Dr Kasemani (dua dari kiri) bertanya sesuatu ketika mebgunjungi Klinik Desa Kuala Jengai yang turut terjejas banjir.
Dr Kasemani (dua dari kiri) bertanya sesuatu ketika mebgunjungi Klinik Desa Kuala Jengai yang turut terjejas banjir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 45 fasiliti kesihatan awam di Terengganu dilaporkan terjejas dalam kejadian banjir yang berlaku sejak Ahad lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 12 fasiliti dinaiki air, manakala 33 fasiliti terputus hubungan selepas jalan ditenggelami banjir.

Menurutnya, sehingga Isnin, terdapat enam fasiliti kesihatan masih terjejas banjir melibatkan lima klinik desa di Besut dan satu klinik desa di Dungun.

"Fasiliti tersebut masih belum beroperasi berikutan mengalami kerosakan teruk dan memerlukan pembaikan.

"Bagaimanapun, operasi perkhidmatan di fasiliti tersebut telah dipindahkan ke fasiliti berdekatan supaya perkhidmatan kesihatan dapat diteruskan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dr Kasemani berkata, Klinik Desa Tembila, Klinik Desa Felda Tenang, Klinik Desa Alor Lintah dan Klinik Desa Bukit Payong dijangka kembali beroperasi pada 1 Januari nanti.

Katanya, pengoperasian Klinik Desa Alor Keladi akan dimaklumkan kemudian berikutan mengalami kerosakan teruk, manakala Klinik Desa Kuala Jengai, Dungun pula akan dibuka semula selepas Monsun Timur Laut berakhir kerana risiko dinaiki air.

Jelas beliau, sepanjang bencana banjir melanda Terengganu, sebanyak 21.8 peratus iaitu melibatkan 2,735 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) turut terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, seramai 847 orang rumah mereka dinaiki air dan 1,888 orang mengalami jalan terputus hubungan, namun begitu sehingga semalam semua anggota kesihatan yang terjejas banjir telah kembali bertugas," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, seramai 713 petugas JKNT telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Katanya, secara kumulatif seramai 3,482 mangsa banjir di PPS telah dirawat oleh pasukan perubatan dan tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan di PPS sepanjang bencana.

"Aktiviti kawalan pasca banjir telah dijalankan di semua PPS dan lokaliti terjejas banjir. Bagi kawalan vektor, sebanyak 3,788 premis telah diperiksa dan hanya satu premis didapati positif pembiakan nyamuk," katanya.