Terengganu cadang wujud konsortium sertai ECRL

Dr Ahmad Samsuri (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil ahli KUPEMAS yang uzur dan sakit
Dr Ahmad Samsuri (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil ahli KUPEMAS yang uzur dan sakit
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mencadangkan supaya kontraktor dan para perunding tempatan di Terengganu mewujudkan satu konsortium bagi membantu mereka terlibat dalam aktiviti ekonomi melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, konsortium itu berfungsi sebagai medan untuk mereka berbincang dan saling membantu menyertai tender ECRL yang merupakan sebuah projek berskala besar dengan kos baharu bernilai RM44 bilion.

“Kita mengalu-alukan peningkatan penyertaan kontraktor tempatan 40 peratus berbanding 30 peratus dan kita harap peluang ini diambil oleh kontraktor tempatan negeri ini supaya sama-sama dapat menyumbang.

“ECRL adalah satu projek besar dan mungkin syarikat-syarikat kontraktor kecil di sini mengalami sedikit kesukaran untuk mereka masuk ke dalam sistem tender ECRL, jadi inilah masanya mereka mengambil peluang wujudkan satu konsortium.

“Konsortium yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai kepakaran ini boleh sama-sama terlibat, walau tidak boleh banyak mungkin dapat sebahagian kecil,” katanya selepas hadir ke Majlis Jalinan Mesra Ahli Kelab Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu (KUPEMAS) di kediaman Seri Iman, di sini hari ini.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, berdasarkan pembentangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam beliau difahamkan sebanyak dua stesen ECRL di Terengganu iaitu Telaga Papan, Setiu dan Kerteh, Kemaman dibatalkan.

Dengan perkembangan itu beliau berkata, kerajaan perlu berfikir luar dari kebiasaan bagi memastikan laluan di kawasan tersebut dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat khususnya dari segi ekonomi walaupun stesen ECRL tidak dibina di sana.

“Projek ECRL bagi tujuan pengangkutan kargo atau barangan dan penumpang ini akan mencetuskan gelombang ekonomi jika diuruskan dengan baik. Jadi peluang ini harus direbut oleh rakyat Terengganu secara khususnya.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan Pusat dan pihak yang mendapat konsesi bagaimana kita boleh membantu syarikat-syarikat kerajaan negeri, anak-anak negeri ini menyertai dalam aktiviti ekonomi di setiap jajaran perhentian ECRL,” katanya.