Pemandu lori pasir maut terbabas dalam parit

Sebuah lori muatan pasir terjunam ke dalam parit di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Sebuah lori muatan pasir terjunam ke dalam parit di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu maut akibat terperangkap selepas lori muatan pasir dipandunya terjunam ke dalam parit di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Pemandu berkenaan, Rosnani Siam, 47, yang memandu lori seberat lebih 40 tan sebelum itu terbabas dan merempuh tembok sehingga terjunam ke dalam parit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Jamal berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kren seberat 350 tan bagi mengangkat lori pasir berkenaan keluar daripada parit terbabit.

"Operasi sedikit rumit memandangkan permukaan lori pasir terbenam hampir empat meter di kawasan yang dipenuhi air.

"Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pada jam 8.51 pagi sebelum 20 anggota dari BBP Larkin bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat sebuah lori dengan muatan pasir terbabas dan jatuh ke dalam parit berair," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa dijumpai terperangkap dal timbunan pasir dan PKO menggunakan kren untuk menarik lori berkenaan keluar daripada parit.

"Kita turut menerima bantuan enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari BBP Skudai dalam operasi menyelamat dan air dalam parit terbabit ketika itu kira-kira dua meter dalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat mangsa kemudian berjaya dikeluarkan pada jam 8.08 malam iaitu selepas lebih 10 jam operasi dijalankan.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, operasi yang membabitkan kekuatan keseluruhan 39 orang termasuk anggota BBP Larkin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PPDA itu kemudian ditamatkan pada jam 8.45 malam.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Qammarul Farhan, 26, berkata, ahli keluarga dimaklumkan tentang kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa menetap bersama keluarganya di Pekan Nenas, Pontian dan berulang alik setiap hari ke Singapura kerana bekerja sebagai pemandu lori yang membawa muatan pasir dari Johor Bahru ke republik itu melalui Tambak Johor.

"Dia sudah menjadi pemandu lori sejak lebih 10 tahun dan selama itu tidak pernah terlibat dengan apa-apa kemalangan besar, jadi apabila keluarga dimaklumkan berhubung kejadian ini kami semua terkejut.

"Dia keluar rumah seperti biasa hari ini untuk bekerja menghantar pasir ke Singapura yang biasanya dilakukan dua kali sehari," katanya.

Kata Mohd Qammarul lagi, mangsa mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia 15 tahun.

Dakwanya, keluarga mendapat tahu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas lori berkenaan terjunam dengan bahagian depan terjerumus ke dalam parit.

"Keadaan diburukkan lagi apabila muatan pasir yang dibawa turut menambah berat kenderaan terbabit," katanya.