Pegawai RTM, pemandu lori maut kemalangan di Lipis

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertugas di Angkasapuri, Kuala Lumpur dan pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di KM18 Jalan Lipis-Benta, Lipis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.40 tengah hari itu, Mohd Zubairi Abdullah, 47, yang memandu kereta jenis Toyota Wish dan pemandu lori, Chang Kai Meng, 58, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Zubairi bersama empat anak dan seorang anak saudaranya dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Benta untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas dan masuk ke laluan bertentangan serta merempuh lori dipandu Chang secara berhadapan.

"Sejurus itu, lori dinaiki Chang bersama anak perempuannya turut dirempuh dari belakang oleh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun, namun pemandu itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Azli berkata, bedah siasat kedua-dua mangsa akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh manakala lima penumpang Toyota Wish dan kelindan lori tersebut dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. - Bernama