Mukhlis ikrar terus berjalan demi bantu kanak-kanak kanser

Mukhlis tiba di Ipoh pada Jumaat sekali gus menamatkan empat ekspedisi berjalan kaki mengelilingi pantai timur dan barat semenanjung yang dimulakan sejak 2020.
Mukhlis tiba di Ipoh pada Jumaat sekali gus menamatkan empat ekspedisi berjalan kaki mengelilingi pantai timur dan barat semenanjung yang dimulakan sejak 2020.
A
A
A

IPOH - Pesara swasta yang pernah menarik perhatian umum menerusi ekspedisi secara solo berjaya menamatkan empat misi berjalan kaki mengelilingi pantai timur dan barat semenanjung yang dimulakan sejak dua tahun lalu.

Mukhlis Ilyas, 59, tiba di destinasi terakhir di Ipoh sekitar jam 3 petang pada Jumaat selepas mengharungi berjalan kaki sejauh 290 kilometer dari Kangar, Perlis selama tujuh hari.

Misi itu dilakukan bagi menjayakan kempen kesedaran dan mengumpul dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pesakit kanser iaitu Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS).

Ketika ditemui pemberita, datuk kepada tiga cucu itu bersyukur tidak berhadapan dengan cabaran besar sehingga dapat mengakhiri misi itu dengan selamat.

Menurutnya, ekspedisi pertama dimulakan pada Disember 2020 dari Desaru, Johor ke Kuantan diikuti Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Terengganu (Disember 2021) sebelum diteruskan dengan Pontian, Johor ke Melaka (November 2022) dan terakhir Kangar ke Ipoh.

"Program ini sebenarnya dah terlewat sedikit disebabkan Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Begitupun saya bersyukur dapat menamatkan semua empat misi ini. Saya enjoy sepanjang perjalanan kerana saya memang seorang yang sukakan aktiviti luar," katanya.

Mukhlis tekad teruskan sokongan kepada KIDS.
Mukhlis tekad teruskan sokongan kepada KIDS.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usia yang semakin meningkat serta kecederaan lutut dialami bukan halangan untuk meneruskan misi yang diatur itu.

Di awal ekspedisi dahulu, dia mampu berjalan kaki antara 50 hingga 60 kilometer sehari, namun keupayaan itu semakin mengurang.

"Untuk yang terakhir ini, saya berjalan ikut kemampuan, kelajuan pun ikut saya sahaja.

"Dalam 1 jam, kurang lebih saya boleh jalan kaki 2 kilometer sahaja atau 20 kilometer sehari. Sebelah pagi 10 kilometer kemudian petang sambung 10 kilometer lagi," katanya.

Beliau berkata, paling menggembirakan apabila kempen dilakukan dapat mencetuskan kesedaran kalangan masyarakat mengenai risiko kanser dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, masyarakat juga telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi apabila turut sama menyumbang dana sebagai sokongan kepada KIDS.

"Saya tidak ada duit yang banyak untuk disumbangkan, yang saya ada hanya masa dan kudrat kaki berjalan untuk sama-sama bantu ibu bapa dan kanak-kanak ini (pesakit kanser)," katanya.

Mukhlis yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, impiannya selepas ini untuk merealisasikan ekspedisi berjalan menyelusuri hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah seperti yang pernah dirancang tahun 2020 lalu.

Ujarnya, beberapa tajaan untuk misi luar negara lain juga sedang diatur antaranya perjalanan ke Mesir, India, dan Uzbekistan demi menyokong kempen KIDS untuk kanak-kanak pesakit kanser.

Mukhlis bersama troli berisi beg, khemah dan barangan keperluannya sepanjang ekspedisi berjalan kaki.
Mukhlis bersama troli berisi beg, khemah dan barangan keperluannya sepanjang ekspedisi berjalan kaki.

"Selagi masih ada hayat, saya akan berjalan. Harapan saya lebih ramai pihak tampil memberi sokongan moral dan mendampingi ibu bapa yang diuji dengan anak pesakit kanser.

"KIDS juga memerlukan sokongan kewangan bagi membantu keluarga tidak berkemampuan mendapatkan rawatan terbaik untuk anak mereka," katanya.

Maklumat lanjut berkaitan KIDS boleh diperoleh melalui Facebook Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser-KIDS dan platform media sosial lain.