Masjid guna sistem solar jimat kos elektrik

Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menandatangani plak perasmian sistem Solar Net Energy Metering 3.0 Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini pada Jumaat.
Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menandatangani plak perasmian sistem Solar Net Energy Metering 3.0 Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini pada Jumaat.
A
A
A

PADANG TERAP - Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di Kuala Nerang di sini dapat mengurangkan bayaran bil elektrik sebanyak 50 peratus sejak masjid mereka dilengkapi dengan sistem Solar Net Energy Metering 3.0.

Pengarah Urusan Green Energy Generation Sdn Bhd, Ku Syairi Ku Din, berkata, pemasangan sistem itu dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) melalui infak dua individu bernilai RM50,000

Katanya, sistem solar berkapasiti 10kWp itu dipasang pada April lalu dan dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Jumaat.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma kerana berjaya membantu masjid ini mengurangkan kos elektrik mereka daripada RM1,000 sebulan kepada RM500 sebulan.

"Masjid ini juga akan menerima manfaat ini bagi tempoh sepanjang 21 hingga 25 tahun secara percuma tanpa sebarang kos," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian sistem Solar Net Energy Metering 3.0 di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pemasangan sistem Solar Net Energy Metering 3.0 ini juga akan diperluaskan sehingga 200 masjid di negeri ini melalui kaedah infak dan perjanjian pembelian kuasa "PPA" yang akan dibekalkan dengan solar tenaga bersih.

"Pemasangan sistem solar ini akan menjadikan masjid terlibat sebagai perintis utama penggunaan tenaga lestari teknologi hijau (Perintis Masjid Hijau).

"Alhamdulillah, MAIK juga sentiasa memberi sokongan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faedah teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Artikel Berkaitan: