Timbalan Presiden Kanan AKER Engineering lepas, bebas

Ahmad Hatta pada Jumaat dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengelirukan Pendaftar Syarikat melalui satu pernyataan palsu, lima tahun lepas.
Ahmad Hatta pada Jumaat dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengelirukan Pendaftar Syarikat melalui satu pernyataan palsu, lima tahun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Kanan, Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman pada Jumaat dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengelirukan Pendaftar Syarikat melalui satu pernyataan palsu, lima tahun lepas.

Turut bebas ialah Pengarah Aker Engineering Malaysia, Mohd Yusof Ab Rahman yang didakwa menggunakan dokumen palsu bagi pembaharuan lesen daripada sebuah syarikat minyak dan gas pada 2018.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Ahmad Hatta, 51, dan Mohd Yusof, 55, untuk membatalkan pertuduhan dihadapi mereka.

Hakim Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati pertuduhan dihadapi kedua-dua pemohon adalah tidak berasas.

"Mahkamah juga mendapati alasan Ahmad Hatta bahawa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak pernah dikelirukan mempunyai merit," kata hakim itu.

Bagi Mohd Yusof, hakim itu berpendapat pertuduhan dihadapi pemohon di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan adalah cacat.

"Ini kerana kesalahan dilakukan melalui orang lain adalah kesalahan yang tidak diperuntukkan di bawah undang-undang," kata Muhammad Jamil.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hatta didakwa mengelirukan Pendaftar Syarikat dengan satu pernyataan palsu berkenaan butir material di dalam Annual Return of Company Having Share Capital Aker Engineering Malaysia Sdn Bhd bertarikh 19 Mei 2017 iaitu dokumen yang dikehendaki diserah simpan kepada Pendaftar Syarikat menurut peruntukan Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2017 di Menara SSM @ Sentral, No 7 Jalan Stesen Sentral 5 di sini mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM3 juta jika sabit kesalahan.

Mohd Yusof pula didakwa menggunakan dokumen palsu sama melalui pekerja Aker Engineering, Wan Suet Yin, yang dilampirkan sebagai dokumen sokongan untuk menyatakan tertuduh bukan pemegang amanah bagi pegangan saham dalam syarikat Aker Engineering bagi permohonan pembaharuan lesen Standardised Work & Equipment Categories (SWEC) melalui Enterprise Buyer Portal sedangkan dia adalah pemegang amanah syarikat tersebut untuk pegangan saham berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Berkembar Petronas pada 26 April 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pada Jumaat dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kedua-dua pemohon diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.

Selepas prosiding di Mahkamah Tinggi selesai, pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan kepada dua hakim Mahkamah Sesyen, yang mendengar perbicaraan kes Ahmad Hatta dan Mohd Yusof berhubung keputusan tersebut.

Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob, yang merekodkan perintah Mahkamah Tinggi, turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 setiap seorang dikembalikan. - Bernama