Filipina perkukuh kedudukan tentera di Laut China Selatan

Pagasa ialah pulau kedua terbesar di gugusan kepulauan Spratly. - Foto Agensi
Pagasa ialah pulau kedua terbesar di gugusan kepulauan Spratly. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Filipina pada Khamis mengarahkan pasukan tentera mereka supaya meningkatkan kehadiran mereka di Laut China Selatan selepas ‘aktiviti’ Beijing didakwa mengancam sebuah garison di kawasan yang menjadi pertikaian multilateral di perairan tersebut.

Langkah memperkukuhkan kedudukan pertahanan itu dibuat dua hari selepas media melaporkan China memperluaskan ‘pencerobohan’ mereka di Kepulauan Spratly.

“Sebarang tindakan menceroboh atau penambakan ke atas ciri-ciri di Laut Filipina Barat adalah satu ancaman kepada keselamatan di Pulau Pagasa,” ujar Jabatan Pertahanan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, anggota tentera telah diarahkan untuk ‘berkawal’ di perairan tersebut selepas 'aktiviti' China berhampiran Pulau Pagasa sedang dipantau dengan rapi.

Difahamkan, Manila merujuk kepada perairan di barat Manila itu sebagai Laut Filipina Barat manakala Pulau Pagasa, kedua terbesar di Spratly juga dikenali sebagai Pulau Thitu.

Pada Rabu, Filipina menzahirkan kebimbangan setelah imej satelit menunjukkan kewujudan ‘pulau buatan baharu’ di mana sebuah kapal dilengkapi mesin pengorek hidraulik milik China juga didakwa beroperasi di perairan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami memandang serius terhadap aktiviti mencurigakan sedemikian.

“Beijing telah mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 yang memutuskan bahawa tuntutan hak sejarah mereka tiada asas undang-undang,” ujar Kementerian Luar Filipina pada Rabu sebagai respons terhadap laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kementerian itu menjelaskan ia telah meminta beberapa agensi untuk menyiasat perkara tersebut setelah Kedutaan China di Manila mendakwa ia sebagai ‘berita palsu’.

“Arahan Presiden Marcos Jr sangat jelas bahawa kami tidak akan melepaskan satu inci persegi pun wilayah Filipina,” jelas pemangku Setiausaha Pertahanan, Jose Faustino setelah pengganti Rodrigo Duterte itu berpendirian lebih tegas dan berikrar tidak akan membiarkan Beijing ‘memijak’ hak maritim mereka.

Tindakan China memperluaskan ‘pencerobohan’ mereka di perairan itu telah mendorong negara di rantau berkenaan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan menjalankan kerja penambakan.

Menurut laporan Inisiatif Ketelusan Asia Maritim pada awal bulan lalu, Vietnam dilaporkan turut menggiatkan kerja pengorekan yang menghasilkan ‘pulau buatan’ seluas 170 hektar di perairan Spratly pada tahun ini. - AFP