Syarikat jualan langsung tanpa lesen didenda RM100,000

Kay Sang didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis kerana memukul seekor anjing betina menggunakan kayu sehingga berdarah, tujuh bulan lalu.
Kay Sang didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis kerana memukul seekor anjing betina menggunakan kayu sehingga berdarah, tujuh bulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat jualan langsung produk kesihatan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Volten Asiaemall Sdn Bhd yang diwakili pengarah, Ismail Che Ani selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan OKS membayar denda terbabit.

Syarikat itu didakwa telah menjalankan perniagaan jualan langsung dengan cara menjual produk kesihatan melalui laman sesawang www.asiaemall.com dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud untuk mendapatkan faedah ekonomi tanpa lesen yang sah di sebuah premis di Seksyen 15 di sini pada jam 3.03 petang, 19 Januari lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(a) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya RM2 juta, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, OKS yang diwakili peguam Jefri Jaafar memohon mahkamah mengenakan denda yang paling munasabah dengan alasan syarikat itu kini telah mempunyai lesen yang sah.

"Selepas pandemik Covid-19, kewangan syarikat tersebut agak terjejas, jika denda yang tinggi dikenakan ke atas syarikat ini, ia akan menjadi beban kepada syarikat. Syarikat ini juga memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan kes dijalankan," rayunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang tinggi supaya syarikat tersebut tidak mengulangi kesilapan serupa.

"Penalti yang pernah dikenakan terhadap pesalah di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanannya dalam usaha mendidik serta mengubah tingkah laku. Jumlahnya yang kecil membolehkan mereka membayarnya secara tunai dan kes diselesaikan di luar mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Namun setelah pembayaran dibuat, kesalahan sama diulang keesokan harinya, kerana pulangan yang diperolehi daripada penipuan tersebut adalah berlipat kali ganda jumlahnya. Oleh itu, peruntukan baharu rang undang-undang ini telah menaikkan jumlah penalti dan penjara maksimum bagi semua kesalahan yang terdapat dalam akta ini sebagai tindakan pencegahan atau deterrent," katanya. - Bernama