Puisi kontroversi, Hassan tidak hasrat tinggalkan PKR

Ibrahim (tengah) menunjukkan kepada Hassan jaket keselamatan dan bot yang akan digunakan semasa menyelamatkan mangsa banjir, di BBP Pasir Gudang, pada Khamis.
Ibrahim (tengah) menunjukkan kepada Hassan jaket keselamatan dan bot yang akan digunakan semasa menyelamatkan mangsa banjir, di BBP Pasir Gudang, pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberitahu tidak berhasrat meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan tiga puisi kontroversi baru-baru ini yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, beliau menggunakan puisi-puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar bertujuan menegur Presiden PKR itu secara berhemah dan beradab kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, puisi-puisi berkenaan dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

"Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar. Tidak apalah saya dimarahi satu dua pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara tersebut.

"Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi WhatsApp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

"Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya), tujuan saya mahu ingatkan dia agar tidak lari daripada perjuangan asal, saya terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar dan jangan terlalu keras sangat (berlebihan mengkritik)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang di sini pada Khamis.

Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu, Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang mengkritik Anwar, dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang sanggup menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ramai pemimpin PKR tidak bersetuju dengan puisinya itu dan memintanya memberi peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri dalam keadaan PH terpaksa bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Beliau menggunakan puisi untuk menghantar mesej secara tersirat kepada Anwar kerana cara tersebut lebih lembut berbanding mengeluarkan kenyataan yang sudah tentu menggunakan bahasa agak kasar.

Hassan lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak 'lari' maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

"Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sajak itu dibukukan dengan tajuk Antologi Sajak-Sajak Reformasi dan kemudian diterbitkan oleh PRM dalam bentuk buku.

"Saya menyokong perjuangan Anwar sejak zamam PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR.

"Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela 'dipancung'. Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti," ujarnya.