Majlis Keselamatan PBB hentikan keganasan di Myanmar

Pekerja migran Myanmar yang tinggal di Thailand menunjukkan tabik hormat tiga jari sambil memegang gambar ikon demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi pada perhimpunan di luar kedutaan Myanmar di Bangkok, Thailand, pada Isnin. - Foto EPA
Pekerja migran Myanmar yang tinggal di Thailand menunjukkan tabik hormat tiga jari sambil memegang gambar ikon demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi pada perhimpunan di luar kedutaan Myanmar di Bangkok, Thailand, pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menerima pakai resolusi mengenai situasi Myanmar pada Rabu, antara lain menggesa keganasan di Myanmar dihentikan.

Badan antarabangsa itu menggesa pemimpin tentera Myanmar supaya membebaskan 'banduan yang ditahan sewenang-wenangnya', menghentikan serangan ke atas orang awam dan menghormati hak asasi manusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebanyak 12 negara anggota mengundi menyokong resolusi itu dengan Rusia, India dan China berkecuali.

Bekas ketua de facto kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 dan sejak itu beliau berdepan sabitan atas pelbagai pertuduhan termasuk rasuah, penipuan pilihan raya dan melanggar akta rahsia rasmi.

Suu Kyi, 77, kini ditahan di sebuah penjara di Naypyidaw sejak Jun lalu selepas diletakkan di bawah tahanan rumah berikutan rampasan kuasa tentera.

Pada 2017, tentera melancarkan serangan yang menyasarkan minoriti Muslim Rohingya. Ratusan ribu Rohingya terpaksa melarikan diri dan PBB menyifatkan penganiayaan ke atas mereka sebagai genosid (pembunuhan atau penghapusan secara sengaja sesuatu bangsa atau kaum).

Sejak 1983, Rohingya telah kehilangan kerakyatan mereka berikutan undang-undang yang diluluskan junta tentera Myanmar.

Pada Rabu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merayu menyelamatkan segera sekumpulan pelarian Rohingya yang hanyut selama berminggu-minggu di Lautan Hindi. - Bernama

Artikel Berkaitan: