Selangor rangka garis panduan aktiviti perkhemahan

Sze Han (dua dari kanan) menunjukkan peta kawasan insiden tanah runtuh ketika ditemui di Bilik Mesyuarat MTES, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.
Sze Han (dua dari kanan) menunjukkan peta kawasan insiden tanah runtuh ketika ditemui di Bilik Mesyuarat MTES, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengenal pasti keperluan untuk merangka satu garis panduan khusus untuk aktiviti-aktiviti perkhemahan susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat lalu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, selama ini setiap perniagaan dikawal rapi melalui lesen perniagaan, kebenaran merancang dan pelan bangunan serta penguatkuasaan.

Namun menurut Sze Han, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti tapak perkhemahan kerana ia merupakan aktiviti sampingan yang dijalankan oleh pemilik hotel atau resort.

"Bagaimanapun, tragedi tanah runtuh di Batang Kali seharusnya dijadikan iktibar, selain kawalan terhadap perniagaan utama, pemantauan seharusnya dibuat terhadap aktiviti sampingan dijalankan pihak operator.

"Oleh itu, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk menyegerakan bancian terhadap jenis dan jumlah aktiviti-aktiviti perkhemahan dan seumpamanya yang masih tidak dinyatakan serta diklasifikasi secara jelas dalam kategori perniagaan," katanya.

Sze Han yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Mesyuarat MTES, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.

Sze Han menambah, bancian juga akan mengenal pasti lokasi-lokasi aktiviti tersebut dalam melihat kawasan-kawasan sensitif alam sekitar dan tempat yang tidak sesuai atau berisiko bagi aktiviti rekreasi.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh aktiviti rekreasi dan perkhemahan seperti pengusaha, persatuan-persatuan rekreasi dan perkhemahan serta agensi-agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Semua dapatan ini akan membantu kerajaan negeri dalam merangka garis panduan berkenaan supaya aktiviti perkhemahan dan rekreasi dapat dijalankan dengan selamat dan tidak memudaratkan mana-mana pihak.

"Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan akan diperakui oleh pihak berkuasa tempatan dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti tersebut," katanya.