Razman saran Perak tukar istilah Kerajaan Perpaduan

Razman ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto Korporat SUK Perak
Razman ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto Korporat SUK Perak
A
A
A

IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria menyarankan agar kerajaan negeri menukar istilah Kerajaan Perpaduan yang diguna pakai ketika ini oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, penggunaan istilah yang tepat bagi kerajaan adalah penting agar tidak menjadi rujukan yang salah kepada generasi akan datang.

Menurutnya, perubahan kerajaan yang berlaku sebelum ini telah membuatkan Dewan Negeri Perak menjadi rujukan pengkaji politik dalam dan luar negara.

"Nama-nama kerajaan BN, Pakatan Rakyat (PR), PH dan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negeri Perak adalah satu perkara yang penting untuk mengetahui fasa-fasa peralihan kerajaan dan juga sebagai rujukan kes (case study) yang penting untuk generasi akan datang.

"Justeru, saya menggesa agar nama kerajaan yang ada pada hari ini dikaji semula supaya istilah kerajaan yang diguna pakai adalah lebih tepat dan tidak memberi gambaran tidak betul daripada sudut penggunaan istilah dalam disiplin ilmu sains politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, istilah berkenaan juga tidak tepat bagi menggambarkan falsafah sebenar kerajaan perpaduan dalam sains politik kerana masih wujud ahli pembangkang daripada PN.

"Secara jelas dalam Dewan ini kita ada blok kerajaan dan pembangkang. Jadi eloklah difikirkan nama lain untuk kerajaan ini, mungkin kerajaan campuran atau kerajaan PH bersama BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Pas Perak itu turut menyatakan pendirian bahawa blok pembangkang mengakui keabsahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.

Katanya, pada penggal ini, pembangkang juga tidak mengemukakan calon Speaker dan Timbalan Speaker kerana mengetahui bilangan blok kerajaan melebihi daripada jumlah sedia ada.

"Dengan ini, tidak timbul kekecohan dalam Dewan yang mulia ini dengan mengemukakan usul percaya atau tidak percaya. Insya-ALLAH kami akan menjadi satu blok yang konstruktif dan positif dalam melakukan semak dan imbang.

"Harapan saya agar Kota Tampan dan semua ahli Yang Berhormat sama-sama kita tumpukan perhatian kepada agenda yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri Perak," katanya.

Kerajaan Perak terbentuk melalui jajaran 33 kerusi sokongan ADUN masing-masing terdiri daripada PH dengan 24 kerusi dan BN sembilan kerusi.

Manakala PN dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 26 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi.