Setiap rakyat boleh main peranan pulih ekonomi

No Image Caption
A
A
A

DALAM keadaan ekonomi yang cukup sulit pada masa ini dan cabaran pada tahun hadapan yang dijangka lebih besar, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya perlu berasa bimbang dengan ekonomi negara ketika ini.

Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat pada Isnin, Malaysia berisiko menjadi muflis seperti yang berlaku di Sri Lanka sekiranya gagal mengurus hutang negara yang semakin meningkat dengan betul dan rapi.

Ini kerana hutang negara pada tahun ini telah mencecah RM1.12 trilion dalam tempoh empat tahun berbanding sebanyak RM686 bilion pada tahun 2017.

Paling membimbangkan pada tahun 2017 Malaysia membayar faedah hutang RM27.9 bilion tetapi pada tahun 2022 bayaran itu mencecah RM43 bilion.

Kebimbangan terhadap angka-angka ini perlu diterjemahkan dengan setiap daripada kita mengambil tanggungjawab untuk sama-sama memastikan bahawa negara kita tidak mengikut jejak Sri Lanka yang runtuh sistem ekonominya.

Contohnya jika kita adalah penjawat awam yang terlibat dalam menguruskan wang kerajaan, maka adalah sewajarnya ia perlu diuruskan dengan penuh integriti, berhemah dan mengelakkan sebarang pembaziran.

Berhati-hatilah menguruskan wang kerajaan itu supaya setiap sen yang dibelanjakan memang benar-benar wajar untuk dikeluarkan dan bukannya atas sebab-sebab lain yang tidak munasabah.

Bagi orang awam pula, antara peranan yang boleh dilakukan ialah dengan memastikan harta benda kerajaan yang digunakan dijaga dengan baik seperti mana kita sayangkan harta benda sendiri.

Artikel Berkaitan:

Contohnya tidak merosakkan fasiliti disediakan supaya kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk membaikinya dalam keadaan poket kerajaan ketika ini yang makin mengempis.

Banyak lagi kaedah dan peranan boleh dimainkan jika kita sayangkan negara dan mahu bersama-sama untuk memulihkan ekonomi.

Bersama-samalah kita berusaha kerana tanpa komitmen semua, adalah mencabar untuk mengembalikan kedudukan ekonomi kita yang sudah ketinggalan berbanding negara-negara jiran tetangga.