Bajet Mini 2023: Ismail Sabri zahir penghargaan terhadap PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia menerusi Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

Menurut beliau, inisiatif yang diluluskan tersebut merupakan kesinambungan kerajaan terdahulu dalam memberi fokus terhadap kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

"Ia turut mengambil kira semua aspek, khususnya untuk membela golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramal pada tahun depan.

"Malah kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada hari sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet berkenaan bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107.71 bilion.

Ahli Parlimen Tambun itu membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Antara inisiatif dalam bajet mini diumumkan Anwar hari ini ialah bantuan awal persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan musim tengkujuh, kenaikan gaji tahunan tambahan khas 2023 dan bantuan khas kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri menambah, tindakan kerajaan sebelum ini tidak menaikkan tarif elektrik di semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion dan memberi subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak agar tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah bertujuan meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” ulas beliau.