Banjir: Peningkatan mendadak, 67,214 mangsa dipindahkan

Anggota Pertahanan Awam menaiki bot bagi meninjau laluan utama dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang terputus sepenuhnya ketika tinjauan di Pasir Mas hari ini. - Foto Bernama
Anggota Pertahanan Awam menaiki bot bagi meninjau laluan utama dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang terputus sepenuhnya ketika tinjauan di Pasir Mas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 67,214 mangsa daripada 18,450 keluarga direkodkan berada di 469 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding laporan yang dikeluarkan pada Isnin.

“Terengganu adalah negeri yang terjejas teruk merekodkan jumlah mangsa sebanyak 39,721 orang melibatkan 318 PPS.

“Bagi negeri Kelantan pula, terdapat 26,513 mangsa yang ditempatkan di 138 PPS. Situasi ini berlaku akibat daripada peningkatan paras air yang naik secara mendadak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan setakat jam 12 tengah hari Selasa, jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah seramai 65,139 orang.

Menurut Armizan, ia menjadikan jumlah kumulatif mangsa banjir yang dipindahkan di 11 buah negeri adalah seramai 92,157 orang melibatkan 25,635 keluarga setakat 20 Disember 2022.

Jelasnya, sehingga jam 2 petang, bilangan negeri terkesan banjir kekal pada lima negeri yang melibatkan lapan daerah di negeri Kelantan, lapan daerah di Terengganu, satu daerah di Pahang, dua daerah di Perak dan satu di Johor.

Tambah beliau, menurut laporan terkini yang diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara

Artikel Berkaitan:

(Nadma) daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Luruan Monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember 2022.

Jelasnya, berdasarkan maklumat semasa, bagi Terengganu, hujan tertinggi direkodkan di stesen Kalabe, Besut dengan jumlah hujan sebanyak 732 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.

“Bacaan hujan yang tinggi bagi tiga hari maksimum turut direkodkan di stesen hujan Kg. Besut, Setiu sebanyak 923mm, stesen hujan Kg. Kuala Ping, Hulu Terengganu sebanyak 834mm dan steen hujan Jambatan Jerteh, Besut sebanyak 808 mm.

“Rekod hujan ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Terengganu iaitu sebanyak 663mm,” ujarnya.

Bagi Kelantan, katanya, cerapan hujan tertinggi dalam tempoh 24 jam direkodkan di stesen hujan Kg. Wakaf Raja, Pasir Putih dengan jumlah hujan sebanyak 625mm.

Tambahnya, rekod hujan ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi negeri Kelantan iaitu sebanyak 500mm.

Menurut beliau, luruan Monsun itu berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta di perairan Laut China Selatan.

Oleh demikian, katanya, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang berkuat kuasa sehingga 21 Disember 2022.

“Manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan dijangka berlaku sehingga 22 Disember 2022,” ujarnya.

Tambah Armizan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat telah dimaklumkan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga telah memberi peringatan kepada penduduk-penduduk yang berada di kawasan 'hot spot' tanah runtuh.

Jelasnya, ini supaya penduduk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada dengan tanda-tanda kemungkinan berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan kediaman masing-masing.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian dalam tempoh dua hingga tiga hari walaupun selepas hujan berhenti kerana keadaan tanah yang mengalami peresapan air sebelumnya boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit yang berkecerunan 25 selsius ke atas.

“Berdasarkan laporan daripada PKOB Negeri Kelantan dan Terengganu, buat masa ini operasi menyelamat masih berada dalam situasi terkawal.

“Pada masa yang sama, penyelarasan juga telah dibuat untuk penambahan aset logistik seperti lori berkapasiti tinggi melebihi 5 tan, bot dan kenderaan pacuan empat roda (4x4) bagi memudahkan anggota penyelamat memasuki kawasan yang terputus hubungan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak PKOB daerah-daerah yang terlibat juga telah diminta menyelaras pendaftaran dan pergerakan para sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menjalankan misi bantuan di kawasan banjir.

Jelasnya, penyelarasan itu penting bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan dan bantuan yang ingin disampaikan adalah menyeluruh serta bukan hanya tertumpu pada kawasan tertentu sahaja.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung situasi semasa banjir dan bantuan yang ingin disalurkan, orang ramai boleh menghubungi PKOB di daerah masing-masing.

“Sumbangan daripada pelbagai pihak adalah amat dialu-alukan dan pada hari ini, pihak FGV Holdings Berhad akan menyampaikan sumbangan sebanyak RM5 juta untuk Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN),” ujarnya.

Menurut Armizan, bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi banjir, semua PKOB bagi negeri-negeri yang terlibat telah diarahkan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan demi memastikan pengurusan tindak balas dapat berjalan dengan lancar.