Muhasabah bawa kejayaan umat

A
A
A

SALAH satu daripada nilai terpenting yang harus ada pada orang Melayu ialah sifat muhasabah diri atau boleh ditafsirkan sebagai ‘menyalahkan diri sendiri’.

Nilai ini amat penting kerana seseorang yang boleh menyalahkan diri sendiri akan mudah membuat perubahan dengan positif manakala mereka yang enggan menyalahkan diri dalam apa jua hal sekalipun akan menjadi egois dan tidak mudah mesra dengan masyarakat.

Nilai menyalahkan diri sendiri bukan bermaksud untuk melahirkan seorang yang lemah dan mudah kalah atau mempunyai harga diri yang rendah.

Dalam tulisan tokoh agama seperti Imam Ghazali, Prof Dr Eknath Easwarn yang beragama Hindu serta Joel Osteen yang beragama Kristian dan disokong oleh tokoh agama lain serta spiritualis Barat seperti Eckhart Tolle dan Dr Wayne Dyer, mereka semua menyifatkan nilai menyalahkan diri sebagai alat yang penting untuk mengawal ego manusia atau nafs dalam terminologi Islam.

Ego ini wujud semasa kita kecil dahulu contohnya kita hendak semua mainan yang ada, kita hendakkan makanan dan minuman serta-merta serta banyak lagi perbuatan yang mesti diberikan oleh ibu bapa. Jika permintaan kita tidak kesampaian, kita akan menangis sehingga berjaya mendapatkannya.

Sifat kanak-kanak ini adalah semula jadi tetapi apabila ia mengambil alih norma masyarakat setelah kita dewasa maka sifat ini menjadi nilai negatif yang membuat seseorang itu akhirnya disisih masyarakat.

Dalam politik Melayu dan orang Islam, amat banyak kita melihat perkara ini. Saban hari terdapat orang sebegini memarahi, memaki dan mengherdik orang bukan Islam dan juga orang Islam yang mengikuti cara Rasulullah!

Jika ekonomi Melayu merosot, salah orang bukan Melayu dan bukan Islam. Jika ada teguran sedikit atau komen daripada orang bukan Melayu dan bukan Islam tentang sesuatu isu, cepat sangat orang Melayu dan Islam melenting dan terus menyalahkan mereka.

Artikel Berkaitan:

Cuba kita lihat beberapa isu yang panas. Pertama isu ‘murtad’. Kononnya, orang Islam dan Melayu ramai telah murtad dan memasuki agama lain.

Tuduhan terus dibuat terutamanya kepada golongan Kristian. Ada yang menyatakan murtad disebabkan ada kitab Injil yang menggunakan nama ALLAH yang mengelirukan orang Melayu Islam.

Ada juga yang memarahi kerajaan tempatan kerana meluluskan pembinaan gereja yang paling besar di Malaysia dan di Asia Tenggara.

Jika kita menganalisis kesemua isu tersebut dengan muhasabah diri, kita akan mendapati suatu kebenaran yang mengejutkan. Jika benar ada ramai orang Melayu yang murtad, cuba kita lihat dulu kelemahan kita orang Melayu Islam dalam pelbagai aspek pentadbiran, pendidikan dan komunikasi.

Pertama, adakah salah orang bukan Melayu dan bukan Islam jika kita orang Melayu dan Islam bersikap biadab dan sombong dalam mengemukakan isu atau menjawab pertanyaan? Kita lihat ugutan membakar kitab Injil, membakar patung seseorang malah mengugut menampar atau perbuatan lain yang lebih jijik lagi. Rasulullah, kalau pun marah, tidak pernah bersikap biadab sedemikian atau mengugut seperti itu.

Pernahkah Rasulullah mengheret Abu Sufian dan memandikannya dengan najis unta pada beliau dan orang Quraisy yang telah menghina dan mencederakan baginda?

Pernahkan baginda berkata-kata kesat dan maki hamun terhadap bukan Islam? Rasanya tidak. Maka itu, sunnah mana yang kita ikuti? Sunnah Melayu atau sunnah Rasul?

Dari aspek pentadbiran pula, sudahkah orang Melayu Islam menuding jari kepada diri sendiri dengan muhasabah tentang kaedah pentadbiran dan urusan agama Islam di negara ini?

Contohnya, di manakah duit zakat yang patut digunakan untuk bantu orang miskin?

Maka itu, jika orang daripada agama lain yang membuka kuil atau gereja mereka untuk memberi makanan percuma dan tempat penginapan sementara yang baik maka salahkah orang Islam meninggalkan Islam?

Masjid yang kita bina besar-besar dan gah tetapi tiada program kebajikan makanan harian seperti konsep soup kitchen orang agama lain.

Hanya dengan sifat sebegini, orang Melayu boleh membina syarikat yang maju dan dimanfaati semua umat.

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah pensyarah UCSI University. Kampus Cheras, Kuala Lumpur