Khidmat Blake meruntun jiwa

Keadaan seekor anjing unit K-9 yang dipenuhi lumpur ketika tinjauan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Sabtu. - Foto Bernama
Keadaan seekor anjing unit K-9 yang dipenuhi lumpur ketika tinjauan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PERASAAN bercampur baur saat membaca alert berita pada awal pagi Jumaat lalu yang melaporkan kira-kira 100 individu dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor.

Dengan anggaran awal daripada pihak berkuasa pada waktu itu, jumlah mangsa yang dilaporkan adalah sangat ramai dan itu bermakna satu tragedi terburuk telah tercatat dalam kalendar 2022 negara.

Ketika kita memberi tumpuan kepada isu banjir di seluruh negara terutama di kawasan Pantai Timur, kejadian tanah runtuh itu telah menggemparkan semua pihak, sekali gus perhatian tertumpu kepada misi menyelamat.

Seramai 94 mangsa disahkan terlibat dalam tragedi menyayat hati itu. Daripada jumlah tersebut, seramai 61 mangsa dilaporkan selamat, manakala 24 lagi mangsa disahkan terkorban dan sembilan masih dicari.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari keempat pada Isnin dan setakat jam 2 petang, sembilan mangsa yang hilang masih belum ditemui.

Agensi-agensi penyelamat utama yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9), selain penggunaan jentera pengorek (excavator) dan Ground Penetrating Radar (GPR) turut dilaksanakan bagi mengesan mangsa di dalam tanah.

Kita dapat lihat sepanjang empat hari operasi SAR dijalankan, semua anggota menyelamat bertungkus lumus mengerah keringat mencari baki mangsa yang tertimbus.

Artikel Berkaitan:

Beberapa foto memaparkan kesungguhan, kegigihan, kepayahan dan kelelahan anggota penyelamat mencari mangsa terlibat amatlah dihargai serta dikagumi seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat lagi hero yang tidak didendang dan ramai tidak perasan hero tersebut juga dilihat mengalami kepenatan ketika mencari mangsa runtuhan tanah iaitu pendamping pasukan SAR, anjing K9.

Ke hulu, ke hilir mencari mangsa tanpa lelah sejak kejadian berlaku pada Jumaat sehinggakan akhirnya seekor anjing K9 mengalami kepenatan teruk.

Blake, baka English springer spaniel ‘kecundang’ setelah dua hari berturut-turut bekerja dan kini direhatkan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, selepas dua hari bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan, anjing pengesan itu kemungkinan perlukan rehat tetapi bukan cedera.

“Sebab itu pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir bermula dengan tiga ekor anjing dahulu, kemudian kita akan masukkan bakinya.

“Setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian untuk membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (empat) dan seekor milik Angkatan Tentera Malaysia,” kata beliau pada Ahad.

Selain Blake, anjing K9 yang turut digunakan dalam operasi pencarian itu ialah Pop, Denti, Frankie, Lady dan Grouse.

Rata-rata di media sosial sepakat mendoakan Blake kembali cergas selepas ini. Gambar tular keadaan Blake yang kepenatan dengan badannya penuh lumpur menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

Jasanya memang tidak perlu dipertikaikan, apatah lagi kerja yang dilakukannya. Tabik hormat Blake!

Sebenarnya, selain Blake, banyak lagi anjing K9 yang menjalankan tugas dengan jayanya.

Kepakaran dan pengalaman anjing berkenaan dalam pelbagai operasi SAR amat disanjung tinggi sehinggakan ada diberi penghargaan serta anugerah atas khidmat bakti kerana dapat menyelesaikan kes berprofil tinggi.

Pada waktu sebeginilah, kita akan mengetahui aset yang ada pada pasukan penyelamat, kemahiran dan kemampuan mereka berdepan kawasan pencarian serta situasi yang diberi perhatian di seluruh negara.

Justeru, harapan dan doa kita panjatkan kepada ALLAH SWT agar kita dijauhi daripada segala malapetaka serta dipermudahkan urusan pencarian sehingga selesai.

Buat anggota penyelamat yang lain, semoga terus bersemangat menumpukan misi pencarian. Semoga semua mangsa dijumpai.

Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

* Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian