Tiada pemotongan elektrik besar-besaran di Terengganu - TNB

Pemotongan elektrik dibuat ketika ini hanya membabitkan kawasan banjir bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan terlibat. - Foto Bernama.
Pemotongan elektrik dibuat ketika ini hanya membabitkan kawasan banjir bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan terlibat. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan maklumat tular bahawa bekalan elektrik akan dipotong di Terengganu berikutan bencana banjir yang semakin buruk dan pencawang elektrik dinaiki air.

Pengurus Besar TNB Terengganu dalam kenyataan berkata, setakat ini pihaknya tidak merancang untuk menutup atau memotong elektrik secara besar-besaran.

"Pemotongan elektrik dibuat ketika ini hanya membabitkan kawasan banjir bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan terlibat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau menjelaskan, setakat jam 4 petang pada Isnin, terdapat penutupan bekalan elektrik di Terengganu disebabkan hujan lebat dan banjir yang berlaku.

"Beberapa kawasan di lima daerah di Terengganu belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan 95 pencawang elektrik di Kuala Berang, Besut (70), Kemaman (49), Bandar Al-Muktafi Billah Shah (15) dan Setiu (7).

"Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat," jelas beliau.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata, sekiranya banjir bertambah buruk serta berisiko membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik terlibat bagi menjamin keselamatan pengguna setempat.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mendekati pepasangan elektrik yang terendam air banjir pada musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus," katanya.

Sejak Isnin tular mesej melalui aplikasi WhatsApp memberitahu kononnya bekalan elektrik di negeri itu akan ditutup besar-besaran ekoran bencana banjir semakin buruk dan lebih 500 pencawang elektrik di negeri itu ditenggelami banjir.